Pihak berkuasa Beijing mengumumkan pada 19 Mac lalu bahawa jumlah pengguna telefon bimbit di China telah menurun sebanyak 21 juta pada sepanjang tempoh tiga bulan yang lalu, di mana kekurangan tersebut dikatakan berpunca daripada jumlah penutupan akaun yang tinggi.

AFP/Getty Images

Sedangkan tahap pendigitalan adalah sangat tinggi di China, di mana telefon bimbit merupakan sebahagian penting dalam kehidupan rakyatnya. “Orang ramai tidak boleh bertahan tanpa telefon bimbit”, jelas Tang Jingyuan wakil hal ehwal China yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Telefon bimbit lazim digunakan untuk urusan dengan pihak kerajaan – sama ada perihal pencen dan keselamatan sosial, membeli tiket kereta api, membeli belah dan macam-macam lagi, bahkan atas urusan kesihatan.

“Rejim China menghendaki semua rakyatnya untuk menggunakan telefon bimbit mereka bagi menghasilkan kod kesihatan. Hanya dengan kod kesihatan hijau sahaja, orang China dibenarkan untuk memasuki negara itu. Tidak wajar untuk seseorang itu menghentikan akaun telefon bimbitnya”.

Pada 1 Disember tahun lalu, China memperkenalkan imbasan muka mandatori untuk mengesahkan identiti individu yang mendaftar telefon. Setakat 1 September 2010, kerajaan mengarahkan semua pengguna telefon bimbit untuk mendaftar telefon dengan identifikasi sebenar mereka, di mana kerajaan dapat mengawal suara orang melalui sistem pengawasan berskala besar.

Tambahan pula, akaun bank dan akaun keselamatan sosial penduduk di sana turut disertakan sekali di dalam pelan telefon bimbit mereka. Aplikasi pada telefon di sana pula boleh menyemak kad SIM dengan pangkalan data negara untuk memastikan nombor itu dimiliki oleh pengguna.

Beijing pertama kali melancarkan kod kesihatan berasaskan telefon bimbit pada 10 Mac, di mana setiap rakyat di China mesti memasang aplikasi telefon bimbit dan mendaftarkan maklumat kesihatan peribadi mereka.

Kemudian aplikasi itu boleh menghasilkan kod QR – yang muncul dalam tiga warna, untuk mengklasifikasikan tahap kesihatan pengguna. Merah bermaksud seseorang itu mempunyai penyakit berjangkit, kuning pula menandakan bahawa individu itu mungkin mempunyai satu jenis penyakit manakala hijau bermakna orang itu tidak menghidapi penyakit.

Menurut penjelasan pihak kerajaan, kod kesihatan berkenaan digunakan bertujuan untuk mengelakkan penularan wabak virus Komunis China ataupun lebih dikenali sebagai novel koronavirus.

AFP/Getty Images

Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) mengumumkan pada 19 Mac lalu ada mengeluarkan data jumlah pengguna telefon di setiap wilayah pada bulan Februari. Berbanding dengan pengumuman sebelumnya (dikeluarkan pada 18 Disember 2019), data pada bulan November 2019 menunjukkan bilangan untuk pengguna telefon bimbit dan pengguna talian tetap jatuh secara dramatik.

Berbeza dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, bilangan pengguna terhadap telefon bimbit dan juga talian tetap adalah meningkat. Ini menunjukkan bahawa jumlah pengguna telefon bimbit turun daripada 1.600957 bilion kepada 1.579927 bilion.

Ini bermakna terdapat penurunan sebanyak 21.03 juta! Manakala bilangan pengguna talian tetap pula mencatatkan penurunan daripada 190.83 juta kepada 189.99 juta iaitu perbezaan sebanyak 840,000.

Pada bulan Februari lalu, jumlah itu meningkat. Menurut MIIT, jumlah pengguna telefon bimbit meningkat pada Februari 2019 daripada 1.5591 bilion kepada 1.5835 bilion, iaitu 24.37 juta lebih. Bilangan pengguna talian tetap meningkat daripada 183.477 juta kepada 190.118 juta, iaitu 6.641 juta lebih.

Menurut Biro Perangkaan Kebangsaan China, penduduk negara pada akhir 2019 adalah seramai 4.67 juta lebih banyak berbanding pada tahun 2018, iaitu mencapai sehingga 1.40005 bilion.

Penurunan jumlah pengguna talian tetap pada tahun 2020 mungkin disebabkan kuarantin di seluruh negara pada bulan Februari yang menyaksikan banyak perniagaan kecil ditutup. Tetapi penurunan pengguna telefon bimbit tidak dapat dijelaskan dengan cara ini.

Mengikut data operasi ketiga-tiga syarikat rangkaian talian telefon bimbit di China, akaun telefon bimbit meningkat pada Disember 2019 namun data itu kemudian berkurangan pada tahun 2020.

China Mobile selaku syarikat telekomunikasi terbesar yang memegang kira-kira 60% daripada pasaran telefon bimbit China melaporkan bahawa ia memperoleh 3.732 juta penambahan akaun pada Disember 2019.

Namun menurut syarikat tersebut, pihak mereka telah kehilangan 0.862 juta pengguna pada Januari 2020 dan 7.254 juta pengguna pada Februari 2020 sedangkan prestasi syarikat itu dalam tempoh sama pada tahun 2019 sangat berbeza – penambahan 2.411 juta akaun pada Januari 2019 dan 1.091 juta lagi pada Februari 2019.

China Telecom selaku syarikat telekomunikasi kedua terbesar pula memegang kira-kira 21% daripada pasaran memperoleh 1.18 juta pengguna pada Disember 2019, tetapi kehilangan 0.43 juta pengguna pada Januari 2020 dan 5.6 juta pengguna pada Februari 2020. Sedangkan pada tempoh sama tahun lalu, bilangan pengguna bertambah kepada 4.26 juta pada Januari dan 2.96 pada Februari.

China Unicom, yang belum menerbitkan data untuk bulan Februari juga berkongsi pengalaman yang sama dengan dua lagi syarikat telekomunikasi berkenaan. Pada Januari 2020, syarikat itu kehilangan 1.186 juta pengguna sedangkan tahun sebelumnya mereka memperoleh 1.962 juta pengguna dan 2.763 juta pengguna pada Januari 2019.

China membenarkan setiap dewasa untuk memiliki maksima lima nombor telefon bimbit. Sejak 10 Februari, majoriti pelajar di sana telah mengambil kelas dalam talian hanya dengan menggunakan nombor telefon bimbit kerana sekolah mereka diperintahkan untuk kekal ditutup.

Akaun pelajar ini berada di bawah nama ibu bapa mereka. Ini bermaksud bahawa beberapa ibu bapa perlu membuka akaun telefon bimbit baru pada bulan Februari.

AFP/Getty Images

Oleh yang demikian, timbul persoalan sama ada jumlah penurunan dramatik dalam akaun telefon menggambarkan penutupan akaun mereka yang telah meninggal dunia akibat virus komunis China.

“Ada kemungkinan bahawa beberapa pekerja asing mempunyai dua nombor telefon bimbit – satu nombor daripada kampung manakala satu lagi daripada bandar tempat mereka bekerja. Pada bulan Februari, mereka mungkin menghentikan nombor di bandar kerana mereka tidak boleh pergi ke sana”, kata Tang.

Biasanya, pekerja asing ini akan pulang semula ke kampung halaman mereka untuk menyambut Tahun Baru Cina pada bulan Januari. Sekatan perjalanan kemudiannya menghalang mereka daripada kembali ke bandar tempat mereka bekerja.

Walau bagaimanapun, bayaran bulanan terhadap penggunaan telefon bimbit membuatkan majoriti daripada mereka hanya mampu meneruskan penggunaan satu nombor telefon bimbit sahaja. Menurut Biro Perangkaan Kebangsaan, China mempunyai seramai 288.36 juta pekerja asing pada April 2019.

AFP/Getty Images

Pada 17 Mac, wakil Pembangunan dan Suruhanjaya Pembaharuan China, Meng Wei, berkata bahawa lebih daripada 90% perniagaan di seluruh wilayah kecuali Hubei akan menyambung semula operasi, termasuklah di Zhejiang, Shanghai, Jiangsu, Shandong, Guangxi, dan Chongqing.

Jika kedua-dua bilangan pekerja asing dan tahap pekerjaan berikut adalah tepat, ini bermakna bahawa lebih daripada 90% pekerja asing telah kembali bekerja.

Masalah ekonomi yang disebabkan oleh tempoh kuarantin di China mungkin juga menjadi punca untuk pengguna menghentikan akaun telefon bimbit tambahan untuk membatalkannya. Dengan pemberhentian aktiviti perniagaan, mereka mungkin mahu mengurangkan perbelanjaan.

“Buat masa ini, kami masih tidak tahu data secara terperinci. Jika 10% daripada akaun telefon bimbit ditutup kerana pengguna mati ekoran wabak virus komunis China maka ini menandakan bahawa jumlah kematian adalah sebanyak 2 juta”, kata Tang.

Jumlah kematian yang dilaporkan di China difahamkan tidak sama keadaannya dengan situasi yang berlaku di negara terbabit. Perbandingan dengan keadaan di Itali juga menunjukkan jumlah kematian di China kurang terperinci.

Itali mengamalkan langkah yang sama dengan yang digunakan oleh rejim China, di mana jumlah kematian disebabkan oleh virus berkenaan di Itali kini mencatatkan melebihi 6,000 dengan kadar kematian 9.5%.

Di China yang mempunyai populasi jauh lebih besar dan terdedah kepada virus itu pula mencatatkan jumlah kematian sebanyak 3,283 iaitu hanya 4% kurang daripada separuh yang dilaporkan di Itali.

Aktiviti di pusat wabak tersebut iaitu di wilayah Hubei pula seolah-olah bertentangan dengan angka kematian yang dilaporkan di China. Sebanyak 7 buah rumah pengkebumian di Wuhan dilaporkan masih lagi membakar mayat 24 jam sehari, tujuh hari seminggu pada akhir Januari.

Wilayah Hubei sebelum ini difahamkan telah menggunakan 40 unit ruang pembakaran mayat mudah alih, di mana masing-masing mampu membakar sebanyak lima tan sisa perubatan dan mayat setiap hari sejak 16 Februari lalu.

Data yang masih lagi tidak lengkap membuatkan angka kematian sebenar di China kekal misteri. Pembatalan sebanyak 21 juta akaun telefon bimbit pula menjadi titik tolak yang menggambarkan bahawa bilangan kematian sebenar mungkin lebih tinggi daripada angka rasmi.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus Komunis China’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular