Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham mengumumkan bahawa terdapat penambahan kes sebanyak 172 ketika sesi sidang media yang berlangsung pada 25 Mac.

Ini menjadikan kes keseluruhan untuk wabak virus Komunis China tersebut adalah sebanyak 1,796. Daripada jumlah itu, 45 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 34 daripadanya menggunakan alat bantuan pernafasan.

Sementara 16 pesakit yang lain telah sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital, lantas menjadikan sejumlah 199 pesakit telah sembuh dan discaj setakat ini.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 172 kes baharu yang dilaporkan itu, 71 daripadanya adalah daripada kluster perhimpunan tabligh di Sri Petaling manakala selebihnya masih lagi dalam siasatan.

Dengan jumlah kes baharu yang dicatatkan, ini menjadikan bahawa jumlah kes virus berkenaan yang melibatkan peserta himpunan tabligh di Sri Petaling kini telah melebihi daripada angka 1,000 orang.

Tambah beliau lagi, kes kematian ke-18 merupakan lelaki tempatan berusia 56 tahun yang menghidap penyakit kronik. Dia dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor sebelum meninggal dunia pada 23 Mac.

Kematian ke-19 pula melibatkan wanita tempatan berumur 68 tahun, di mana beliau menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail pada 19 Mac sebelum meninggal pada 25 Mac.

Manakala kematian ke-20 pula merupakan lelaki warga tempatan berusia 76 tahun yang menghadiri perhimpunan tabligh. Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada 25 Mac.

Sementara kematian ke-21 merupakan warga tempatan berusia 63 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau yang juga peserta perhimpunan tabligh telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada 23 Mac sebelum disahkan meninggal keesokan harinya.

Selain daripada itu, seramai 73 orang petugas kesihatan juga turut dijangkiti, di mana 43 daripadanya dikaitkan dengan majlis perkahwinan yang turut dihadiri oleh tetamu daripada kluster tabligh.

Daripada keseluruhan kakitangan perubatan yang dijangkiti, 37 orang adalah dari Hospital Teluk Intan di Perak, menyebabkan Jabatan Kecemasan & Wad Permerhatian, Hospital Teluk Intan telah ditutup untuk pencucian & nyah kuman.

Namun jabatan ini tetap beroperasi di bangunan Unit Pesakit Luar buat sementara. Manakala kakitangan perubatan lain adalah dari Hospital Putrajaya, Hospital Raja Perempuan Zainab, Kelantan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Selayang.

Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus Komunis China’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular