PUTRAJAYA – Sebanyak 125 kes baharu positif COVID-19 telah dicatatkan pada 16 Mac 2020, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia sebanyak 553 kes, demikian yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dalam sidang media harian, Datuk Seri Dr Adham berkata, berdasarkan siasatan awal, 95 kes daripada 125 kes baharu dikesan berkait dengan dengan kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Selain itu, Dr Adham berkata, Malaysia kini sudah memasuki tahap pembendungan akhir iaitu ‘late containment’, bertujuan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih serius di negara ini.

“Di Malaysia, didapati terdapat pertambahan kes COVID-19 yang ketara sepanjang minggu lepas. Mengambil kira situasi terkini, KKM ingin memaklumkan bahawa Malaysia telah memasuki tahap pembendungan akhir,” katanya.

Langkah itu bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19 daripada menjadi lebih serius di Malaysia.

Selain itu, Dr Adham juga memaklumkan KKM kini sedang membuat persiapan untuk memasuki tahap mitigasi.

Antara langkah yang akan diambil ialah:

1.Menjadikan Hospital Sg Buloh sebagai “admitting hospital” khusus untuk kes positif COVID-19.

2.Meningkatkan kapasiti dan kapabiliti makmal untuk menjalankan pengesanan jangkitan COVID-19.

3.Mengenal pasti pusat-pusat kuarantin di seluruh negara.

4.Bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan fasiliti swasta dalam pengurusan kes COVID-19.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Adham turut memaklumkan, susulan permintaan pihak berkuasa secara berterusan, termasuk daripada ketua jemaah tabligh di Sri Petaling, Mansur Ismail, lebih 7,000 daripada keseluruhan jemaah tabligh yang hadir ke perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling sudah tampil untuk menjalani ujian saringan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular