PUTRAJAYA – Sebanyak 41 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan pada 14 Mac 2020, jumlah tertinggi dalam tempoh 24 jam dengan kesemuanya berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, antara 27 Februari hingga 3 Mac 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kesemua kes baharu yang disahkan itu adalah dalam kalangan patient under investigation (PUI) membabitkan sebanyak 37 kes dan 4 kes kontak rapat kes COVID-19.

Dengan pertambahan sebanyak 41 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 238 kes.

@KKMPutrajaya/Twitter

Sehingga kini, seramai 203 kes masih dirawat di wad dengan 5 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan. Kes-kes ini juga diberikan rawatan anti-viral. 

“Sehingga 14 Mac 2020, sebanyak 1,321 sampel daripada pesakit influenza like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) sudah diuji di IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), semua makmal kesihatan awam dan hospital,” katanya.

Beliau mendedahkan setakat ini tiga sampel positif jangkitan COVID-19 dan kesemua kes positif ini berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh.

Selain itu, Datuk Dr Noor Hisham menasihati orang awam untuk kekal tenang dan mengelak sama sekali untuk menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan perhimpunan tabligh itu demi menjaga keharmonian umum.

Katanya, mereka perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini perkembangan jangkitan COVID-19 daripada kenyataan akhbar dan pengumuman yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

@KKMPutrajaya/Twitter

Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan daripada menghadiri sebarang perhimpunan awam dan mematuhi keputusan kerajaan seperti yang diumum dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai COVID-19 pada 13 Mac 2020.

Datuk Dr Noor Hisham juga mengumumkan sebanyak dua kes iaitu kes ke-35 dan kes ke-61 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini sudah pulih dan dibenarkan keluar dari wad Hospital Sungai Buloh.

Katanya, ini menjadikan sebanyak 35 kes sudah pulih sepenuhnya dari jangkitan COVID-19 setakat ini dan dibenarkan discaj dari wad.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular