PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 190 kes baharu positif jangkitan COVID-19 pada 15 Mac setakat jam 12 tengah hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan dalam kenyataan media, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif terkini COVID-19 di Malaysia meningkat lebih 200 peratus kepada 428 kes.

Beliau berkata, kebanyakan kes baharu yang dikenal pasti itu mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

@KKMPutrajaya/Twitter

Datuk Seri Dr Adham juga melaporkan sebanyak 9 kes bergantung pada mesin bantuan pernafasan dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) tetapi dalam keadaan stabil.

Dalam kenyataannya beliau berkata, “Justeru, KKM menyeru peserta perhimpunan tabligh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.”

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah kini sedang menjejaki jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling dan individu-individu yang disyaki dijangkiti COVID-19, secara aktif bagi mengekang penularan pandemik ini.

Menurutnya, semua peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir mereka menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

Dalam kenyataannya itu, Datuk Seri Dr Adham berharap orang ramai tidak menyebar atau berkongsi sebarang maklumat tidak benar yang boleh mencetus panik atau kebimbangan awam.

Datuk Seri Dr Adham turut mengumumkan sebanyak 7 kes positif COVID-19 sebelum ini telah dibenarkan discaj dari wad, menjadikan jumlah pesakit yang telah pulih sepenuhnya dan dibenar discaj dari hospital adalah sebanyak 42 kes.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular