Pokok kaktus merupakan sejenis tanaman yang biasa hidup di kawasan tanah gersang. Menyebut tentang kaktus, kita akan membayangkan bahagian yang tajam berduri dan warnanya yang menghijau. Tetapi, kaktus sebenarnya dikenali dengan khasiatnya untuk kecantikan wajah. Antara fungsi kaktus yang ramai tidak tahu adalah ianya boleh melembapkan wajah, mencegah penuaan dan memperbaiki sel kulit yang rosak.

Selain daripada itu, tahukah bahawa dua orang usahawan iaitu Adrian Lopez Velarde dan Marte Cazarez telah berjaya menemui kaedah baharu dalam menghasilkan fabrik yang organik dan mesra alam menggunakan pokok kaktus. Dengan menggunakan kaktus daripada jenis Desserto, kedua-dua usahawan ini kemudiannya menjadikannya produk utama di syarikat mereka, Adriano Di Marti.

Youtube | Mitch Summers

Menurut IndiaTimes, selepas memproses bahagian-bahagian kaktus yang berduri, keras dan tajam itu, maka terhasilnya sesuatu yang memiliki tekstur seperti kulit. Di samping itu, syarikat Adriano Di Marti turut menggunakan bahan pewarna semulajadi dalam proses pembuatan kulit kaktus itu sekali gus menjadikan produk akhir ini mampu bertahan lama!

Apa yang lebih membanggakan mengenai produk ini adalah, memandangkan ianya diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan, ianya mengambil masa yang singkat untuk diurai.

Menyebut tentang nilai bagi produk ini, pihak syarikat mengenakan harga yang hampir sama seperti kulit haiwan sebenar bagi semua produk kulit yang diperbuat daripada kaktus. Antara produk yang telah syarikat ini hasilkan adalah:

  • Pelapik tempat duduk kereta
  • Beg
  • Kasut
  • Pakaian (jaket kulit)


Idea yang inovatif ini sememangnya bernas kerana bukan sahaja membantu memulihara alam semula jadi tetapi juga mampu menyelamatkan jutaan haiwan yang dibunuh semata-mata untuk mendapatkan kulitnya.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular