Jika difikirkan soal rezeki, tiada siapa dapat menentukan di tahap mana atau dalam bentuk apa seseorang itu berasa cukup dan berpuas hati dengan pemberianNya.

Misalan, ada orang sudah berasa cukup bersyukur ketika mendapat gaji RM3,000 sebulan dan ada juga orang sudah berasa cukup bersyukur dengan gaji RM1,500 sebulan atau kurang.

Soalnya, adakah ia masih cukup untuk seseorang itu terus bersama rasa kesyukuran dengan gaji yang diberikan seiring dengan peredaran zaman? 

Facebook/ Sekadar Gambar Hiasan

Kerana sekiranya terdapat suara-suara mengeluh di kalangan generasi muda dan suara-suara menyindir serta membanding di kalangan generasi zaman terdahulu (sudah tua dan pencen), maka itu menunjukkan tanda-tanda kurangnya rasa kesyukuran dengan pemberian nikmat.

Seorang pengguna Facebook bernama Ir Abdul Rahman Bahasa terdengar perbualan beberapa orang pak cik yang menyindir dan membandingkan zaman muda mereka mampu hidup selesa dengan gaji lebih rendah berbanding gaji besar generasi kini, tetapi masih tidak mencukupi.

Lalu beliau terpanggil untuk berhujah dengan membuat perbandingan gaji bersama kos sara hidup dahulu dan sekarang di dalam posting panjang lebar di Facebook seperti berikut :

Unsplash/Gambar Hiasan

Isu kelangsungan hidup bukanlah satu topik asing yang hendak dibincangkan. Tapi bila aku dengar ada seorang warga pencen berbual sesama mereka semasa beli nasi lemak pagi tadi, membuatkan aku terpanggil untuk menulis posting ini.

Jelas di gegendang telinga aku bila terdengar ayat:

“HAIRAN AKU DENGAN BUDAK MUDA SEKARANG INI, GAJI SUDAH RM3,000 PUN MENGELUH LAGI. AKU DULU TAHUN 80-AN…GAJI RM1,500 SAHAJA. HIDUP JUGA. DAPAT BELI RUMAH TERES, DAPAT PAKAI KERETA HONDA. DAPAT JUGA MAKAN McDONALD’S. BUDAK-BUDAK SEKARANG INI MANJA SANGAT!”

Aduh..berdesup menusuk hati bila dengar ayat-ayat pedih macam itu…

Aku terfikir juga kenapa generasi aku ‘struggle’ gila hendak hidup zaman ini.

Betulkah generasi aku ini manja?

Atau, kami ini memang tidak tahu hendak ‘survive’?

Bila aku masuk pejabat, aku muhasabah diri fikirkan balik ayat pak cik tadi.

Mana silapnya??

Jadi, aku pun buatlah ‘study’ sikit hendak buat perbandingan…

Unsplash/Gambar Hiasan

Tahun 1980-an

Gaji: RM 1,500 sebulan.

Rumah Teres setingkat : RM 25,000 (luar Kuala Lumpur).

Kereta Honda Civic: RM 13,000.

McDonald’s Double Cheeseburger : RM2.95.

Tahun 2020

Gaji: RM 3,000 sebulan.

Rumah Teres setingkat : RM 280,000 (luar Kuala Lumpur).

Kereta Honda Civic: RM 108,000.

McDonald’s Double Cheeseburger : RM9.45.

Jom kita banding…

1.Gaji 2020 vs Gaji 1980-an

RM 3,000 / RM 1,500

Keputusan = Kenaikan 2 kali ganda.

2.Rumah 2020 vs Rumah 1980-an

RM 280,000 / RM 25,000

Keputusan= Kenaikan 11 kali ganda!!

3.Kereta Honda Civic 2020 vs Kereta Honda Civic 1980-an

RM 108,000 / RM 13,000

Keputusan= Kenaikan 8.3 kali ganda!!

4.McDonald’s Double Cheeseburger 2020 vs Double Cheeseburger 1980-an

RM 9.45 / RM 2.95

Keputusan= Kenaikan 3.2 kali ganda!!

Ya, nampak macam bagus sangat !!! Nilai gaji naik 2 kali ganda.

TETAPI, generasi hari ini…

  • Kalau mahu beli rumah teres setingkat di luar Kuala Lumpur. Kena usaha 11 kali ganda lebih daripada orang kerja tahun 80-an.
  • Kalau teringin beli Honda Civic. Kena usaha 8.3 kali ganda lebih daripada orang kerja tahun 80-an.
  • Kalau mahu makan McDonald’s Double Cheeseburger. Kena usaha 3.2 kali ganda lebih daripada orang kerja tahun 80-an.
  • Standard masa kerja tahun 80-an dengan tahun 2020 sama sahaja iaitu dalam 8 jam, tiada perubahan…

Jadi, kepada pak cik tadi… Adakah ini bermaksud kami generasi muda,

  • Kena kerja 88 jam sehari (8 jam x 11 kali ganda) supaya kami dapat beli rumah teres setingkat?
  • Kena kerja 66.4 jam sehari (8 jam x 8.3 kali ganda) supaya kami dapat beli Honda Civic?
  • Kena kerja 25.6 jam sehari (8 jam x 3.2 kali ganda) supaya kami dapat makan Double Cheeseburger McD?

Pexels/Gambar Hiasan

Macam mustahil sahaja pak cik…Setiap orang ada masa 24 jam sahaja sehari.

Ok lah pakcik, untuk bagi adil… Isteri saya pun bekerja. Saya ada 24 jam, isteri saya ada 24 jam… Jadi, keluarga saya ada 48 jam sehari.

Eh! Hendak beli Honda Civic pun tak lepaslah pak cik, sebab kalau mahu beli Honda Civic kena kerja 66.4 jam sehari!

Lepas itu mesti pak cik cakap, “Dah tau tidak mampu. Kenapa hendak beli rumah teres? Kenapa mahu pakai Honda Civic?”

Baik pak cik.. Saya ubah gaya hidup saya..

RUMAH

Pixabay/Gambar Hiasan

TIDAK MAMPU beli rumah bawah ada tanah macam pak cik.. Beli PPR sahajalah.. RM35,000 (Itu pun kalau dapat bila mohon). Dulu pak cik beli rumah teres RM25,000 bukan?

Jadi,

RM 35,000 / RM 25,000

Keputusan = Kenaikan 1.4 kali ganda.

KERETA

Pixabay/Gambar Hiasan

Pakai Perodua Axia terpakai sahajalah baru RM25,000. Dulu pak cik pakai Honda Civic harganya RM13,000 bukan?

Jadi,

RM 25,000 / RM 13,000

Keputusan= Kenaikan 1.9 kali ganda.

McDonald’s Double Cheeseburger ?? Tidak perlu makanlah.. TIDAK MAMPU..

Unsplash/Gambar Hiasan

Masuk akal ini nampaknya.. Kata orang, ukur baju di badan sendiri bukan.. Tapi pelik ya? Gaji naik 2 kali ganda tapi gaya hidup saya tidak sama dengan gaya hidup pak cik dulu-dulu. Itu tidak masuk lagi cerita perbelanjaan harian. Belanja hendak membesarkan anak-anak, belanja bayar PTPTN, MARA.. Hairan saya pak cik!

Jadi, apa isu yang sebenarnya? Generasi saya ini MANJA ATAU KUASA BELI KITA YANG BERKURANG pak cik?

Fikir-fikirkan…

Semoga bermanfaat … Agak-agak pakcik tu baca ke tidak warkah luahan ini? 

Ir Abdul Rahman Bahasa/Facebook

Apa-apa pun, kita semua patut berlapang dada dan bersangka baik dalam memikirkan situasi yang berlaku.

Di samping, sentiasa mengucapkan rasa kesyukuran dengan pemberian rezeki tidak kira dalam apa juga bentuknya, yang tidak semestinya mengikut ukuran wang ringgit sahaja.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular