Umum mengetahui senaman ‘plank’ bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, lebih-lebih lagi buat mereka yang tidak biasa melakukannya. Bahkan jika ia biasa dilakukan sekalipun, durasinya mungkin tidak begitu lama.

Namun seorang pesara tentera laut dari Amerika Syarikat, George Hood, baru-baru ini telah berjaya mencipta rekod membuat senaman plank paling lama di dunia, ‘The Longest Male Abdominal Plank’ – iaitu selama 8 jam, 15 minit dan 15 saat!

Guinness World Records/YouTube

Lelaki berusia 62 tahun berkenaan difahamkan telah berjaya mengatasi rekod lama oleh Mao Weidong dari China pada tahun 2016 iaitu selama 8 jam dan 1 minit. Sungguh mengagumkan!

Menurut George, dia telah melakukan persediaan dan latihan dengan membuat senaman plank selama lebih kurang 2,000 jam dan dia juga telah menamatkan acara tersebut dengan melakukan bangkit tubi sebanyak 75 kali.

George yang memulakan senaman itu pada tahun 2011 dan akan berlatih melakukan plank selama 7 jam sehari. “Saya betul-betul mengasingkan diri daripada realiti sebuah jam. Ianya satu seni dan kemahiran yang saya berjaya kuasai selama bertahun-tahun”, katanya.

Guinness World Records/YouTube

Sepanjang acara itu, George ‘didendangkan’ dengan muzik bergenre rock memandangkan ia dikatakan mampu membantunya mencapai impiannya ketika zaman kanak-kanak yang lalu.

“Semasa membesar, saya terpesona dengan rock and roll – Van Halen, Motley Crue, Deep Purple, saya akan menonton video mereka dan ia mempesonakan”, tambahnya.

Menurutnya lagi, dia selalu berharap agar dirinya dapat menjadi bintang rock. “Saya boleh memberi jaminan buat anda bahawa untuk 8 jam, 15 minit dan 15 saat itu, saya adalah bintang rock”, katanya lagi.

Setelah rekod berkenaan berjaya dipecahkan, George kemudian mengumumkan persaraannya daripada percubaan rekod senaman plank.

Kini, dia berazam untuk memecahkan rekod dunia untuk bilangan tekan tubi paling banyak, yang hanya boleh dilakukan selama sejam!

Guinness World Records/YouTube

Maybe you're interested :

Share

Video Popular