Seorang wira lazimnya meletakkan orang lain melebihi dirinya sendiri dan sentiasa melakukan sesuatu demi kebaikan. Ia boleh jadi sesiapa sahaja, tidak kira latar belakang. Ternyata individu sebegini memiliki etika moral yang wajar dicontohi.

Seperti seorang lelaki, Kendall Diwisch dari Alberta, Kanada ini di mana dia sememangnya merupakan seorang wira apabila bertindak menyelamatkan tiga ekor anak kucing yang kesejukan ketika salji tebal.

Kendall Diwisch/Facebook

Dia yang pada ketika itu berada di dalam sebuah kenderaan memutuskan untuk berhenti apabila menyedari terdapat tiga ekor anak kucing berada di tengah jalan.

Kendall tidak berhadapan dengan masalah untuk menyelamatkan seekor daripadanya namun dua ekor lagi nampaknya memerlukan bantuan yang lebih memandangkan ekor mereka tersekat pada salji.

Berasa kasihan, dia kemudian memutuskan untuk mencurahkan sedikit air kopi panas yang dipegangnya bagi membolehkan bulu dan ekor anak kucing tersebut tidak lagi melekat pada salji.

Menurut Kendall, dia merasakan bahawa kesemua anak kucing berkenaan ditinggalkan di kawasan itu oleh seseorang yang tidak bertanggungjawab.

“Kasihan mereka kesejukan sehingga tersekat pada salji, mungkin mereka berada di luar untuk sepanjang malam”, tulis Kendall di laman Facebook miliknya.

Kendall kemudian membawa kesemua anak kucing tersebut ke rumahnya bagi menghangatkan tubuh kecil mereka itu selain memberi mereka makanan.

Setelah pasti anak kucing itu selamat, Kendall kemudian bertanya kepada kenalannya yang mungkin berminat untuk mengambil dan membela anak kucing tersebut.

Nampaknya, usaha murni Kendall itu dipermudahkan. Lelaki itu berkongsi bahawa kesemua anak kucing terbabit telah pun diambil dan dibela oleh sebuah keluarga yang baru sahaja kehilangan kucing tersayang.

“Mereka sudah pun berada di rumah baru, di mana mereka akan kekal bersama dan tidak akan dipisahkan. Mereka semua cukup makan dan minum serta sangat aktif!”, tulis Kendall lagi.

Tindakan Kendall ternyata memberi kesan yang mendalam buat semua, khasnya kepada para pencinta haiwan di luar sana. Dengan bantuan Kendall, maka dapatlah ketiga-tiga anak kucing tersebut menumpang kasih sesama makhluk, bukan? Terima kasih Kendall!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular