Tidak dapat dinafikan, budaya menabung bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan. Tambahan pula kini dengan keadaan ekonomi yang mendesak, untuk menabung sememangnya memerlukan semangat yang sangat teguh.

@mimierhmn/Twitter

Seorang wanita di laman Twitter bagaimanapun berkongsi pengalamannya yang menabung wang tunai RM20 selama satu tahun yang akhirnya membuahkan hasil sebanyak beberapa ribu ringgit. Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman Mimie Rahman (@mimierhmn) yang menamakan cabaran menabung ini sebagai #RM20Challenge telahpun mendapat sebanyak lebih dari 23,500 sukaan, lebih dari 13,600 ulang kicau dan 243 komen dari warganet yang rata-ratanya sangat terinspirasi dengan kejayaan Mimie.

Menurut Mimie yang berkongsi kiriman tersebut pada 4 Februari 2020, cabaran yang dilakukannya sememangnya sangat mencabar kerana wang tunai RM20 bukanlah satu amaun yang kecil, tetapi dalam masa yang sama tidaklah terlalu besar sehingga boleh memberi kesan kepada kehidupan harian.

Jadi, setiap kali Mimie mempunyai wang tunai RM20 dalam pegangannya, Mimie akan terus menyimpan wang tunai berkenaan di suatu tempat tersorok dan tidak merosakkan fizikal wang tunai berkenaan (misalnya, tidak melipat atau menggulungkan wang tunai berkenaan).

Antara tips yang dikongsikan oleh Mimie untuk memastikan cabaran ini berjaya adalah dengan “menafikan kewujudan wang tunai RM20 yang dimiliki.” Hal ini termasuklah dengan mengabaikan kewujudan wang tunai RM20 dalam setiap jadual perbelanjaan harian. Dalam kata lain, sekiranya kita mempunyai kekurangan amaun dalam jadual perbelanjaan harian, amaun tersebut perlulah diganti sendiri dengan wang tunai lain tanpa mengusik wang tunai RM20 yang ada.

@mimierhmn/Twitter

Selain itu, Mimie turut menekankan agar sesiapa yang berhasrat untuk melakukan cabaran ini agar mengelakkan daripada menggunakan mesin pengeluaran wang automatik yang mengeluarkan wang tunai RM20 kerana penggunaan mesin ini akan meningkatkan risiko kegagalan cabaran #RM20Challenge yang dilaksanakan.

Mimie juga sempat berkongsi kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan perbelanjaan harian seperti untuk membeli makanan walaupun ketika kecemasan. Menurutnya, jika sekali kita menggunakan wang tabungan dalam #RM20Challenge ini, maka selepas itu kita akan menjadi semakin terbiasa untuk membelanjakannya bagi pembelian yang tidak penting.

Jadi, menulis berdasarkan pengalaman, Mimie menasihatkan orang ramai untuk menyediakan sendiri makanan di rumah bagi tujuan penjimatan dan untuk memastikan wang tunai RM20 tidak disentuh langsung.

@mimierhmn/Twitter

Di akhir kiriman, Mimie turut berkongsi pengalamannya yang turut menabung wang syiling selama tiga tahun, yang mana kini sudahpun penuh dalam dua tin disamping dua lagi bekas lain.

Ternyata, perkongsian bermanfaat dari Mimie telah membuatkan ramai orang berasa terinspirasi dan mahu mula menabung wang seperti yang Mimie lakukan. Bagaimanapun, tambah Mimie, sekiranya orang ramai merasakan bahawa nilai wang tunai RM20 terlalu besar untuk dilakukan, maka wang tunai RM5 juga boleh dilakukan sebagai cabaran menabung dengan konsep yang sama.

Berikutan perkongsian Mimie, terdapat juga beberapa orang warganet yang turut berkongsi pengalaman mereka melakukan cabaran menabung dengan konsep yang sama, dan sememangnya, kisah beginilah yang memberi semangat lebih membara kepada pembaca lain!

Sememangnya, budaya menabung merupakan satu budaya yang sangat bermanfaat dan boleh memberi kebaikan yang meluas kepada penyimpan. Jadi, tidak perlu berfikir panjang lagi, ayuh kita mula menabung!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Uncategorized

Video Popular