CHINA – Seorang pakar mata di Wuhan yang sebelum ini pernah disaman oleh pihak polis tempatan setelah mendedahkan tentang kebenaran di sebalik wabak koronavirus yang berlaku di negara terbabit, telah diadili di peringkat mahkamah tinggi.

Doktor berkenaan, Li Wenliang baru-baru ini dilaporkan menerima perhatian ramai setelah pihak mahkamah mengkritik tindakan polis Wuhan yang memberi amaran kepada lapan orang warga Wuhan kerana ‘menyebarkan khabar angin’ tentang wabak tersebut pada Disember lalu.

Li Wenliang

Li dipercayai merupakan salah seorang daripada lapan individu yang dimaksudkan dan beliau kini disyaki telah dijangkiti virus terbabit semasa memberikan rawatan kepada pesakit yang dijangkiti. Namun beliau berjanji akan kembali memerangi wabak tersebut apabila sembuh kelak.

Pada 30 Disember lalu, Li telah menghantar mesej kepada kumpulan alumni sekolah perubatan di aplikasi Weibo, yang memberi amaran bahawa Jabatan Oftalmologi di hospitalnya telah menempatkan tujuh orang pesakit yang didiagnosis dengan SARS ke wad isolasi.

Li Wenliang

Gambar tangkapan daripada mesej itu kemudian telah disebarkan dan Li kemudian dipanggil oleh Unit Pemeriksaan hospital untuk disoal. Kemudian pada 3 Januari lalu, beliau dipanggil dan diberi amaran oleh polis kerana menyebarkan khabar angin dan mengganggu ketenteraman awam.

Setelah penelitian penuh dibuat, Mahkamah Agung China mendapati bahawa kesemua lapan individu terbabit tidak sepatutnya dihukum kerana apa yang dikatakan oleh mereka itu secara keseluruhannya bukanlah khabar angin.

“Ia mungkin menjadi satu perkara yang baik jika orang ramai percaya ‘khabar angin’ itu dan mula memakai topeng dan menjalankan langkah sanitasi, selain mengelakkan pasaran haiwan liar”, tulis akaun rasmi mahkamah berkenaan di media sosial.

Li memberitahu bahawa beliau sebenarnya berasa bimbang sekiranya pihak hospital akan menghukumnya ekoran pendedahan yang dibuatnya tetapi merasa lega selepas mahkamah tertinggi mengkritik pihak polis secara terbuka.

“Saya rasa adalah lebih baik jika terdapat lebih suara dalam masyarakat dan saya tidak bersetuju mengenai penggunaan kuasa awam untuk gangguan secara berlebihan”, kata Li yang telah merawat seorang pesakit glaukoma selepas beberapa hari disaman polis.

Hasil imbasan pada paru-paru pesakit berkenaan mendapati bahawa dia positif pneumonia. Beberapa hari kemudian, Li mula berasa tidak sihat dan disyaki telah dijangkiti dengan virus berkenaan. Hasil ujian menunjukkan Li positif pneumonia namun perlu ditempatkan di wad pengasingan.

Menurut Li, beliau tidak merancang langsung untuk mendapatkan pengadilan ke atas maklumat yang disampaikannya kerana merasakan bahawa tindakan itu akan menyusahkannya dan juga biro keselamatan awam.

“Apa yang lebih penting adalah untuk orang awam tahu kebenarannya, keadilan tidak penting bagi saya”, kata Li yang turut menafikan khabar angin bahawa lesen perubatannya digantung adalah sama sekali tidak benar.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular