Ya, tidak semua antara kita suka akan haiwan. Tidak semua manusia di dalam dunia ini merupakan pencinta haiwan tetapi tidak bermakna haiwan-haiwan di luar sana boleh diperlakukan dengan kejam. Mereka tiada salahnya dan mereka juga berhak untuk hidup dengan baik sama seperti kita.

Kisah yang dikongsikan di laman Facebook, HOPE 希望护生园 ini pasti akan membuka mata kita tentang sikap segelintir kita yang sangat tidak bertanggungjawab. Percaya atau tidak masih ada yang bersikap kejam sehingga sanggup menganiaya kucing ini tanpa belas kasihan.

Apa yang berlaku ialah seekor kucing jalanan baru sahaja melahirkan dua ekor anak berhampiran dengan sebuah kedai serbaneka. Walaupun kedai tersebut sering dikunjungi pelanggan nampaknya tiada seorang pun yang mahu membantu ibu kucing dan anak-anak kecilnya. Apa yang lebih menyayat hati anak-anak kecilnya yang baru dilahirkan bahkan dibuang di dalam tong sampah yang tinggi!

Boleh anda bayangkan perasaan si ibu melihat anak kecilnya dibuat begitu? Keadaan bertambah sedih apabila si ibu tidak mampu menyelamatkan anaknya memandangkan tong sampah tersebut sangat tinggi. Dalam keadaan cemas si ibu kemudian seakan-akan ‘merayu’ kepada orang ramai supaya dapat mengambil semula anaknya yang dibuang. Namun, tiada yang mendengar rayuan sehinggalah tibanya pasukan penyelamat haiwan.

Mereka segera melakukan kerja-kerja menyelamat anak kucing tersebut. Tong sampah digeledah untuk mencari anak kucing yang dibuang. Si ibu masih sahaja kelihatan cemas mencari anak-anak kecilnya. Selepas beberapa ketika mereka akhirnya menemukan anak-anak kucing tersebut. Bayangkan apa yang mereka temui? Salah seekor anak kucing tersebut masih mempunyai plasenta pada badannya menunjukkan dia baru sahaja lahir!

Apa yang terjadi memang tidak seharusnya berlaku. Tidak mengapa jika anda tidak menyukai haiwan, tetapi tiada siapa yang berhak untuk menzalimi mereka. Jika terlihat kejadian seperti ini menimpa mana-mana haiwan jalanan, hulurkan tangan untuk membantu mereka kerana mereka tidak mampu membantu diri atau keluarga mereka dan mereka perlukan bantuan kita. Buat pasukan penyelamat yang datang membantu, terima kasih diucapkan!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular