Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi TV2 mencipta sejarah dan menarik perhatian warganet apabila menampilkan Rasyidah Abu Johan sebagai penyampai berita bahasa Mandarin berbangsa Melayu yang pertama di Malaysia.

Kefasihan wartawan penyiaran berusia 32 tahun ini dalam bahasa Mandarin telah memberi kelebihan buatnya apabila diberi kepercayaan menjadi penyampai berita Mandarin di saluran TV2 bermula 26 Januari.

Penampilan berhijab Rasyidah di TV2 menjadi tular di media sosial dengan pelbagai komen positif bahkan negatif berikutan beliau menjadi penyampai berita Mandarin berbangsa Melayu pertama.

YouTube / Paparan Skrin

Rasyidah berkata beliau tidak mengambil pusing dengan komen negatif bahkan tidak mematahkan semangatnya demi mengambil peluang itu untuk meneroka bidang baru. 

“Kebanyakan penonton menyokong namun ada juga segelintir yang memberi komen berbaur sindiran. Tidak mengapa, saya mengambil komen itu sebagai pembakar semangat,” kata Rasyidah.

Menurutnya dalam temu bual media, “Biarpun begitu, saya akan tetap membaca berita Mandarin kerana ia adalah impian saya sejak mula bekerja di RTM pada tahun 2011.”

Rasyidah berkata beliau mahir bertutur dan membaca bahasa Mandarin kerana mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina bermula dari tahun satu sehingga tingkatan enam.

“Ketika kecil, saya pernah memasuki kelas piano yang mana majoriti pelajarnya berbangsa Cina. Atas sebab itu, saya telah meminta ibu mendaftarkan saya ke sekolah aliran Cina kerana berminat untuk belajar bahasa Mandarin,” kata graduan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) ini.

“Pergaulan dengan rakan-rakan di sekolah menyebabkan saya fasih, namun saya hanya bertutur dengan kerap dalam bahasa itu ketika menjalankan perniagaan dalam talian di awal kerjaya pada tahun 2011. Ketika itu, saya ditempatkan di meja berita am sebelum beralih ke unit bisnes saluran berita bahasa Melayu,” jelas Rasyidah.

Tambahnya dalam temu bual itu, “Pihak pengurusan menawarkan saya untuk menyertai unit berita am saluran Mandarin selepas menyedari kelebihan saya fasih berbahasa Mandarin, dan saya sahut cabaran itu kerana menganggapnya sebagai kesempatan untuk mempraktikkan pengetahuan yang ada.”

Menurutnya, setelah sekian lama bertugas sebagai wartawan penyiaran di unit berita Mandarin, beliau akhirnya diberi kepercayaan menjadi penyampai berita di saluran berkenaan.

YouTube / Paparan Skrin

Pada mulanya, Rasyidah tidak berapa yakin menerima cabaran itu tetapi hasil sokongan daripada keluarga dan wartawan penyiaran serta penyampai berita bahasa Melayu, Ivan Toh yang mencadangkan namanya kepada pihak pengurusan, beliau terus bertambah yakin.

Sebelum ini, skop kerja Rasyidah adalah di belakang tabir iaitu membuat liputan, menulis berita, skrip dan ‘voice over’ dalam bahasa Mandarin.

“Namun, sebaik ditawarkan sebagai penyampai berita, saya jadi gementar hingga timbul rasa ragu-ragu dengan kebolehan diri pada awalnya kerana bimbang tidak dapat capai apa yang orang harapkan. Akhirnya, saya ketepikan perasaan itu selepas mendapat sokongan keluarga, pengarang, rakan setugas dan guru bahasa Mandarin yang mempercayai saya,” katanya.

Menceritakan pengalaman kali pertamanya di hadapan kamera, Rasyidah mengakui gugup tetapi cuba fokus bagi membolehkan dirinya dapat menyampaikan berita ditulis rakan setugas dengan lancar.

“Alhamdulillah, banyak maklum balas diterima malah saya tidak sangka video itu mendapat perhatian selepas dimuat naik di laman sosial berita RTM,” kata Rasyidah.

“Ada warganet memuji sebutan saya jelas dan tidak kurang juga meluahkan rasa kagum melihat kebolehan saya membaca berita bahasa Mandarin walaupun berbangsa Melayu,” katanya.

YouTube / Paparan Skrin

Rasyidah berkata, masih ada lagi ruang untuk diperbaiki dan dia berharap kemunculannya diterima seterusnya dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap kebolehan seseorang.

“Sebenarnya, saya tidak sangka akan sampai ke tahap sekarang tetapi bersyukur dengan peluang diberikan kerana sekurang-kurangnya, saya dapat memenuhi hajat kedua ibu bapa,” katanya.

Rasyidah berharap apa yang dilakukannya dapat mengubah persepsi masyarakat untuk melihat sesuatu dari sudut positif memandangkan masyarakat Malaysia hidup dalam persekitaran majmuk dan mereka perlu mengenali lebih dekat antara satu sama lain.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular