KOTA KINABALU – Dengan kebimbangan serius terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri Sabah telah memutuskan untuk menggantung sementara semua penerbangan yang dijadualkan dari China ke Sabah berkuat kuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan kebajikan rakyat semasa mesyuarat Kabinet Negeri Sabah pada 29 Januari.

Beliau turut menekankan bahawa ia hanya penggantungan sementara dan perniagaan dijangka akan beroperasi seperti biasa selepas keadaan kembali pulih.

“Walaupun penggantungan ini akan memberi kesan kepada industri pelancongan negara, kerajaan serius melihat kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah, dan kami ingin mengelak risiko yang mendedahkan orang ramai kepada mana-mana kemungkinan bawaan dan jangkitan novel coronavirus (2019-nCoV),” jelas Liew.

“Larangan perjalanan ini merupakan keputusan yang sangat sukar dan mungkin tidak diterima oleh pemaju pelancongan kami,” katanya.

“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri perlu memastikan situasi yang berlaku tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, memandangkan ketidakpastian tentang bagaimana wabak coronavirus berkembang,” kata Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 30 Januari.

Daily Express Sabah/Facebook

Menurutnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah akan memaklumkan keputusan kerajaan negeri kepada semua syarikat penerbangan yang mengendalikan laluan China-Kota Kinabalu.

“Ini bermakna semua penerbangan dari China akan dihentikan, dan tidak akan ada kemasukan untuk semua pelancong dari pelbagai bandar di China ke Kota Kinabalu sepanjang tempoh penggantungan,” katanya.

Liew turut menyatakan bahawa Kerajaan China telah mengharamkan warganegara mereka di Wuhan, Xi’an, Beijing, Tianjin dan Guangzhou melakukan perjalanan ke luar negara.

Sementara itu, beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan negeri sedang memantau situasi terkini dengan teliti dengan berkata,”Kerajaan sentiasa mengemas kini situasi semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.”

“Walaupun tiada kes yang dikenal pasti di Sabah, kita semua perlu berjaga-jaga dan mengamalkan sikap menjaga kebersihan yang baik,” kata Liew.

“Pada masa yang sama, kita mesti memastikan maklumat yang betul dari sumber yang boleh dipercayai dan tolong jangan menyebarkan berita palsu atau tidak disahkan,” tegas Datuk Christina Liew dalam kenyataan tersebut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular