Kita semua mempunyai tabiat buruk sama ada yang dilakukan sejak kecil mahupun yang mula menjadi tabiat apabila meningkat dewasa.

Sedangkan orang dewasa yang mempunyai tabiat buruk pun sukar untuk membuangnya, apatah lagi anak kecil yang masih belum matang akal pemikiran.

Tegur, marah, jentik, tarik telinga semuanya sudah dilakukan dan mereka tetap mengulangi tabiat buruk yang sama. Jadi, bagaimana agaknya pendekatan yang harus ibu bapa ambil untuk menangani isu ini?

Gambar Hiasan/Twitter

Pertama sekali kita perlu kenali jenis-jenis tabiat buruk yang sering anak-anak lakukan. Antaranya:

  • Menangis apabila tidak mendapat sesuatu
  • Menggigit kuku
  • Mengorek hidung di hadapan orang
  • Menggunakan kata-kata kesat
  • Berkata bohong
  • Mengelap tangan yang kotor pada baju
  • Kerap menonton televisyen
  • Suka mencelah ketika orang dewasa sedang bercakap
  • Menjelirkan lidah
  • Suka memukul
  • Enggan mengikut arahan ibu bapa

Gambar Hiasan/Facebook

Setelah anda berjaya mengenal pasti tabiat buruk yang sering dilakukan oleh anak-anak, terdapat beberapa kaedah yang boleh diambil untuk menyingkirkan tabiat-tabiat buruk ini daripada terus menjadi sebahagian daripada personaliti anak-anak.

#1 Beritahu punca dan sebab mengapa mereka dilarang berbuat demikian

Anak kecil memiliki sifat ingin tahu yang tinggi dalam diri mereka. Disebabkan itulah mereka gemar bertanya soalan kepada orang dewasa tentang mengapa sesuatu perkara itu boleh berlaku.

Sebagai ibu bapa, anda haruslah memberikan penerangan yang jelas tentang mengapa mereka tidak digalakkan untuk terus melakukan tabiat buruk.

Sebagai contoh, jika mereka gemar mengorek hidung di hadapan orang, anda harus menyedarkan mereka bahawa perbuatan itu dianggap tidak sopan kerana boleh menimbulkan rasa tidak senang pada orang lain. Siapa sahaja yang mahu mendekati atau bersalaman dengan orang yang baru sahaja mengorek hidungnya?

#2 Jangan berhenti memberi teguran

Gambar Hiasan/Twitter

Kadangkala, kita sering terlupa tentang sesuatu teguran yang kita terima. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab untuk ibu bapa agar sentiasa menegur dan mengingatkan anak-anak tentang larangan untuk melakukan sesuatu tabiat buruk. Pada masa yang sama, anda tidak boleh memberikan teguran dalam nada yang tinggi.

Jika anak-anak suka menjerit, janganlah anda menegur mereka dengan nada suara yang tinggi juga. Bercakap dalam nada yang lembut kerana anak-anak melihat dan meniru perbuatan orang-orang di sekeliling mereka. Jika positif persekitarannya, maka positif jugalah perilaku mereka.

#3 Denda pengasingan

Gambar Hiasan/Freepik

Kaedah ketiga ini hanya boleh dilakukan sekiranya dua kaedah terawal tadi tidak berjaya memujuk anak supaya membuang tabiat buruk mereka itu.

Dendanya begini, jika anak-anak masih berdegil, laksanakan hukuman mental seperti menyuruh mereka berdiri seorang diri di satu sudut rumah dan teruskan kelakuan buruk mereka atau duduk bersama anda dengan selesa.

Pemberian dua pilihan ini bukan sahaja mampu meningkatkan kemahiran berfikir secara rasional tetapi juga mendidik mereka agar lebih mendengar kata.

#4 Pemberian ganjaran

Gambar Hiasan/Facebook

Jika anak berjaya menyingkirkan tabiat buruk mereka, berikanlah ganjaran kepada mereka sebagai tanda kejayaan mencapai sesuatu matlamat hidup. Selain wang ringgit, anda juga boleh memberikan ganjaran berbentuk pelukan hangat, kata-kata pujian, memasak makanan kegemaran, membawa mereka bermain di taman dan sebagainya.

Dengan ini, anak-anak akan menjadi lebih bermotivasi untuk terus menjalani hidup yang lebih baik tanpa terus mengamalkan tabiat buruk.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular