KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kes yang disahkan dijangkiti novel koronavirus dikesan di Malaysia, menjadikannya kes yang keempat.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes terbaharu itu melibatkan seorang lelaki berumur 40 tahun dan berasal dari Wuhan, China.

Bagaimanapun, katanya kes tersebut dikatakan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga kes positif seperti yang telah dilaporkan pada Sabtu.

“Kes terbaru ini merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China dan kes dikesan selepas mangsa tiba di Johor Bahru pada 22 Januari 2020 dengan menaiki bas dari Singapura,” kata beliau dalam suatu kenyataan.

Menurut Dr. Noor Hisham lelaki tersebut datang bersama sekumpulan 17 pelancong warga China.

“Lelaki itu mengalami gejala demam pada 23 Januari 2020 dan keesokan harinya beliau telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran,” katanya lagi.

Mangsa kemudian dirujuk ke hospital swasta bagi rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Pada petang 25 Januari 2020, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif 2019-nCoV,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, lelaki itu berada dalam keadaan stabil dan “pada ketika ini kes masih demam dan batuk.”

Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor pula telah bertindak segera dengan mengesan “kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancongan yang sama yang disertai oleh kes dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.”

“Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan.

“Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

“Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka,” katanya lagi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular