SINGAPURA – Kementerian Kesihatan negara berkenaan mendedahkan bahawa terdapat dua individu yang difahamkan telah berkunjung ke Wuhan, dikesan dijangkiti pneumonia.

Dua individu terbabit merupakan seorang lelaki warganegara China berusia 64 tahun dan juga seorang wanita tempatan berusia 61 tahun.

“Kedua-dua kes tersebut dibawa untuk penilaian serta telah diberi rawatan lanjut. Ia merupakan kes terpencil dan dianggap sebagai langkah berjaga-jaga. Mereka berdua kini berada dalam keadaan yang stabil”, jelas wakil kementerian berkenaan.

Difahamkan bahawa kedua-dua mereka tidak mengunjungi lokasi pasar basah terletak di Huanan yang dipercayai ‘sarang’ kepada virus tersebut. Kini, siasatan masih lagi berlangsung bagi mengetahui sama ada penyakit mereka itu berkait dengan virus Wuhan.

Dengan dua kes terbaharu ini menjadikan jumlah individu yang disyaki menghidapi virus Wuhan ini kepada 5 orang kesemuanya. Pesakit pertama merupakan serang kanak-kanak perempuan 3 tahun dan juga seorang pemuda berumur 26 tahun warganegara China.

Mereka difahamkan telah berkunjung ke Wuhan, iaitu sebuah bandar yang terletak di wilayah Hubei. Namun kedua-dua mereka didapati negatif terhadap virus itu setelah diuji. Kes ketiga pula melibatkan lelaki tempatan berumur 69 tahun yang berkunjung ke Wuhan.

Namun, lelaki terbabit difahamkan tidak pergi ke pasar yang dikatakan dan hasil pemeriksaan dan ujian yang dijalankan mendapati bahawa lelaki tersebut turut negatif virus berkenaan.

Sebelum ini, seorang lelaki Jepun menjadi individu kedua yang disahkan terkena virus Wuhan luar daripada negara China. Kes kematian pertama difahamkan berlaku di China pada 9 Januari lalu, di mana seorang lelaki 61 tahun yang mempunyai rekod kesihatan serius, disahkan dijangkiti virus tersebut.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat virus seakan coronavirus telah muncul. Di mana, ia merupakan virus sama yang menyebabkan sindrom pernafasan akut yang teruk, atau SARS dan mampu tersebar.

Memandangkan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi, kebanyakan negara di rantau ini seperti Indonesia dan Thailand sedang memperhebatkan pemeriksaan di lapangan terbang bagi mencegah penularannya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular