- Era Baru Malaysia - http://mb.erabaru.com.my -

“Bukan kerana pemilihan kerja, sikap malas atau permintaan gaji yang tinggi” luahan seorang lelaki mengenai punca pengangguran graduan

Masalah penggangguran di Malaysia bukan lagi perkara baharu. Saban tahun, bilangan graduan rakyat Malaysia semakin meningkat.

Namun malangnya, bilangan ini dikatakan tidak berjaya mencari kerja yang sesuai sehingga berita utama baru-baru ini mengatakan bahawa hampir 60% siswazah menganggur selepas setahun menamatkan pengajian.

Gambar Hiasan/Unsplash [1]

Oleh sebab itu, sesetengah orang berpendapat bahawa graduan muda ini kebanyakannya terlalu memilih pekerjaan, pemalas dan hanya mahukan gaji permulaan yang tinggi sahaja. Kerana itulah, berlakunya lambakan graduan di Malaysia dari tahun ke tahun.

Walau bagaimanapun, seorang pengguna Facebook ada menyuarakan pendapatnya dalam perkara ini. Dan ternyata, pendapatnya ini mendapat perhatian ramai sehingga menjadi tular dengan 1,724 perkongsian, 1,774 reaksi dan 227 komen sehingga entri ini dihasilkan.

Ir Abdul Rahman Bahasa/Facebook [2]

Menurut pengirim, Ir Abdul Rahman Bahasa [3], masalah pengangguran di Malaysia bukanlah berlaku akibat alasan yang dinyatakan sebelum ini, sebaliknya punca utama masalah ini semakin meningkat adalah kerana jumlah wang bersih yang boleh dibawa balik oleh seseorang.

Seseorang graduan perlu berfikir panjang untuk menerima sesuatu jawatan berdasarkan gaji yang ditawarkan. Hal ini adalah kerana, peluang pekerjaan yang ditawarkan lazimnya didapati di bandar raya besar dan membangun seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Gambar Hiasan/Photo-AC [4]

Bagaimanapun, untuk menerima jawatan yang ditawarkan, mengikut logik akal, mereka perlu membina kehidupan baharu di bandar yang sama, jika tidak pun di bandar yang berdekatan. Tetapi perkara ini seterusnya akan berkait rapat dengan kos-kos pengangkutan, sewa rumah dan sebagainya.

Jadi, dari jumlah gaji yang ditawarkan setelah ditolak dengan potongan wajib pekerja, kos pengangkutan, kos keperluan diri, makanan dan sebagainya, jumlah akhir atau jumlah bersih yang dibawa pulang oleh seseorang hanyalah kira-kira 15% sahaja dari pendapatan asal.

Oleh itu, hal ini menyebabkan mereka cenderung untuk ‘memilih pekerjaan’ dan lebih sanggup melakukan kerja yang langsung tiada kaitan dengan bidang pembelajaran mereka di universiti.

Gambar Hiasan/Unsplash [1]

Tambahan pula, Abdul Rahman juga menekankan bahawa peluang pekerjaan yang banyak ditawarkan di Malaysia juga adalah tidak seiring dengan jumlah graduan yang semakin banyak setiap tahun. Hal ini belum ditambah lagi dengan tawaran yang hanya ditawarkan di bandar-bandar utama sahaja.

Secara tidak langsung, perkara ini akan memberi kesan kepada para graduan yang berasal dari kawasan luar bandar.

Justeru, menurut pendapat Abdul Rahman, cara penyelesaian utama yang perlu dilakukan bagi membanteras masalah ini dari terus berkembang dari tahun ke tahun adalah dengan meningkatkan lagi jumlah golongan ‘pencipta pekerjaan’ daripada bilangan golongan ‘pencari pekerjaan’.

Gambar Hiasan/Unsplash [1]

Bukan itu sahaja, bagi ‘pencipta pekerjaan’ yang sedia ada, mereka dinasihatkan untuk memberi peluang kepada graduan untuk membuktikan kemampuan dan potensi mereka.

Mana tidaknya, jika diperhatikan kini, banyak syarikat yang mahu calon pekerja yang sudah memiliki bertahun-tahun pengalaman dan ada kalanya, syarat yang diberikan juga adalah langsung tidak masuk akal.

“Kepada graduan di zaman millennial ini, anda adalah pejuang! Jangan sesekali mengalah! Percayalah, diluar sana masih ada yang prihatin dengan masalah yang anda hadapi. Kekal positif!” tulis Abdul Rahman mengakhiri kirimannya yang panjang lebar.

loading...