Kes-kes bayi yang meninggal dunia akibat kecuaian ibu bapa atau penjaga bukan lagi menjadi perkara yang asing.

Peningkatan statistik ini dalam masa yang sama menunjukkan betapa pentingnya ilmu penjagaan bayi untuk masyarakat agar statistik ini tidak terus meningkat ke tahap yang membimbangkan.

8 Disember baru-baru ini, satu lagi kes bayi berusia 40 hari yang meninggal dunia kerana kecuaian ibunya telah berlaku di Jakarta. Bayi yang mempunyai adik kembar itu ditemui meninggal dunia oleh ibunya, Yuni Sari, 27, setelah diberi makan pisang dalam sukatan dua sudu bayi pada malam sebelumnya.

Gambar hiasan/Unsplash

Yuni yang ternyata terkejut dengan penemuan itu pada pagi tersebut segera membawa bayinya ke Pusat Kesihatan Kebon Jeruk dan kemudiannya dihantar ke Hospital Cipto Mangunkusumo.

Bagaimanapun, selepas bedah siasat dijalankan, doktor mendapati bahawa bayi berkenaan telah tersedak kerana beberapa keping pisang di saluran pernafasannya telah tersekat.

Oleh itu, pihak polis menyatakan bahawa kematian bayi itu berlaku disebabkan oleh kecuaian ibunya sendiri.

Gambar hiasan/Unsplash

Tetapi, menurut Yuni, dia “tidak tahu bahawa bayi yang berusia 40 hari tidak boleh makan selain susu ibu.”

“Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam, ibu mangsa memberikan pisang dengan menggunakan sudu sebelum bayi kembar itu tidur,” kata Erick Sitepu, jurucakap polis.

“Adik kembarnya baik-baik sahaja, tetapi kakaknya tercekik, mungkin ini adalah takdirnya?” kata Yuni.

Walaupun kes kematian akibat kecuaian adalah dikira sebagai kesalahan jenayah di Indonesia, namun pihak polis tempatan memutuskan untuk menyiasat kes ini sebagai kes kematian mengejut.

Gambar hiasan/Unsplash

Menurut American Academy of Pediatrics, bayi di bawah umur 6 bulan hanya boleh diberi susu ibu. Hal ini adalah kerana sistem pencernaan bayi masih lagi belum bersedia sepenuhnya.

Bagaimanapun, selepas bayi berumur 6 bulan, mereka boleh diberikan makanan tambahan dalam kuantiti yang sedikit, dengan makanan yang berbentuk lembut serta halus.

Menurut laman The Asian Parent, untuk menyuapkan makanan berbentuk pejal kepada bayi tanpa nasihat doktor adalah tidak dibenarkan. Disamping itu, makanan yang mengandungi nitrat (garam) juga adalah tidak seharusnya diberikan kepada bayi yang berusia 4 bulan dan ke bawah.

Hal ini kerana makanan bayi yang mempunyai kandungan nitrat yang tinggi boleh menyebabkan gangguan darah kerana penghasilan methemoglobin yang tidak normal. Contoh makanan yang kaya dengan zat nitrat adalah bayam, lobak merah, kacang hijau dan labu.

Oleh itu, setiap ibu bapa perlu bersiap-sedia sepenuhnya dengan ilmu untuk penjagaan anak-anak sejak usia mereka 1 hari lagi agar semuanya terkawal dan anak-anak boleh membesar dengan baik.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular