Aplikasi tempahan atas talian terkenal, TripAdvisor, baru-baru ini mengumumkan bahawa laman itu tidak akan lagi menawarkan pakej-pakej pelancongan yang melibatkan tarikan yang menggunakan haiwan dengan cara yang kejam di seluruh dunia.

Gambar hiasan/Unsplash

Laman berkenaan, bersama dengan sebuah lagi anak syarikatnya, Viator, dilaporkan akan menghentikan tawaran tiket ke “beratus-ratus tarikan haiwan di mana pelancong boleh melakukan sentuhan fizikal dengan haiwan liar yang ditangkap atau spesies terancam.”

Tarikan yang dimaksudkan termasuklah aktiviti menunggang gajah, aktiviti mengusap harimau, aktiviti berenang dengan ikan lumba-lumba dan sebagainya.

Di samping itu, syarikat ini juga akan bekerjasama dengan beberapa kumpulan pemeliharaan hidupan liar di seluruh dunia selain percaya bahawa dasar baru ini dapat meningkatkan tahap kesihatan dan keselamatan haiwan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TripAdvisor, Stephen Kaufer, dasar yang diperkenalkan ini juga bertujuan untuk meraikan destinasi dan tarikan lain yang sering memberi perhatian kepada kebajikan haiwan dan mana-mana pemain industri pelancongan yang membantu memelihara serta memulihara haiwan yang terancam.

Gambar hiasan/Unsplash

TripAdvisor juga menyatakan bahawa mereka komited untuk memastikan bahawa baki tarikan yang ditawarkan akan terus dapat dijual dengan pemberian maklumat tambahan mengenai kebajikan haiwan yang terlibat. Maklumat ini diyakini dapat membantu pelancong untuk menulis ulasan yang lebih bermanfaat mengenai pengalaman mereka.

“Sebagai balasan, TripAdvisor percaya bahawa ulasan yang lebih baik akan membolehkan pelancong membuat keputusan tempahan yang lebih bermaklumat dan meningkatkan standard penjagaan haiwan dalam pelancongan di seluruh dunia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, syarikat ini dilaporkan bekerjasama dengan pelbagai badan termasuk PETA, Pemuliharaan Hidupan Liar Sedunia dan Unit Penyelidikan Hidupan Liar Universiti Oxford.

Sumber: The Telegraph

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI

Video Popular