Filem Joker yang baharu sahaja ditayangkan di seluruh dunia terus mengundang kontroversi apabila rata-rata penonton yang telah menyaksikannya berkata bahawa filem tersebut bersifat agak ‘mengganggu’ dan membimbangkan.

 

Filem bergenre thriller psikologikal berkenaan mencatatkan rekod pecah panggung setelah berjaya mencapai jualan tiket domestik sebanyak $39.9 juta (RM167.2 juta) pada Jumaat lalu dan kini sedang dalam usaha untuk meraih $92 juta (RM385.7 juta) untuk keseluruhan minggu.

Namun tidak semua peminat menggemari filem berunsur ganas dan gelap yang menunjukkan sisi kehidupan Arthur Fleck – seorang badut yang kemudiannya menjadi musuh Batman paling ikonik, dibintangi oleh Joaquin Phoenix.

Menurut seorang penonton di Amerika Syarikat, dia telah keluar daripada pawagam ketika filem itu ditayangkan kerana ia amat menggerunkan selain hakikat tentang filem ini yang mempopularkan keganasan bersenjata serta isu kesihatan mental.

Ada juga yang beranggapan bahawa filem ini sudah keterlaluan dan seharusnya diharamkan daripada terus disiarkan kerana ia dilihat mempromosikan keganasan serta tembakan rambang.

Sepanjang minggu siaran filem ini di pawagam, tiada sebarang laporan mengenai keganasan diterima setelah polis di seluruh Amerika Syarikat berada dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga.

Walau bagaimanapun terdapat gangguan kecil ketika filem itu ditayangkan namun ia tidaklah begitu serius. Menurut polis, dua buah pawagam di Huntington Beach, California, telah membatalkan tayangan filem ini pada malam Khamis selepas menerima ancaman namun tayangan diteruskan pada hari berikutnya.

Di New York pula, polis telah bertindak balas setelah salah seorang penonton telah menimbulkan ketakutan orang ramai apabila bertindak dengan menepuk tangan sekuatnya sejurus sahaja Joker selesai membunuh seseorang.

Bimbang penonton itu mempunyai niat buruk, polis bertindak mengiringi lelaki itu keluar daripada pawagam. Seorang saksi melaporkan bahawa lelaki itu telah menuangkan sebotol minuman keras ke dalam minumannya sebelum filem itu mula ditayangkan.

Ada pula penonton yang tidak bersedia dengan kandungan ganas filem ini mendedahkan bahawa mereka memutuskan untuk keluar daripada pawagam. “Jika saya menonton keseorangan tanpa teman, pasti saya sudah lama keluar”, ujar penonton lain.

Seorang peminat yang pada mulanya meminati Joker juga mengambil keputusan untuk keluar daripada pawagam serta merta apabila keganasan ditayangkan.

Pengarah filem tersebut, Todd Phillips menjelaskan ketika New York Film Festival bahawa gambaran keganasan di dalam filem itu diperlukan ia merupakan berkesinambungan daripada filem-filem aksi yang lain.

Karakter Arthur Fleck telah digambarkan sebagai seorang mangsa buli dan sering dipinggirkan oleh masyarakat sebelum dia memutuskan untuk membalas dendam kepada individu yang telah melakukan kesalahan terhadapnya.

Pengarah 48 tahun itu berkata bahawa dia berasa bertanggungjawab kepada orang ramai untuk menggambarkan kesan terhadap keganasan. “Kerana pada saya, adalah penting untuk menunjukkan situasi sebenar dan implikasinya”.

“Bukankah adalah lebih baik untuk memberi rasa sebenar tentang implikasi terhadap keganasan? Tidakkah lebih baik keganasan ditunjukkan secara sebenar, bukannya menerusi kartun – yang sudah kita lali?”, katanya.

Walaupun menerima pujian kritis, media sosial pemantauan agen-agen FBI di Amerika Syarikat telah memberi amaran bahawa ia boleh memberi ilham terhadap serangan daripada ‘incel’ – satu istilah yang merujuk kepada lelaki yang ‘secara membujang’ dan menyalahkan keadaan mereka terhadap wanita.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL HIBURAN

Video Popular