TAIPEI: Mayat mangsa yang hilang dalam kejadian jambatan runtuh di Taiwan pada 01 Oktober lalu telah ditemui oleh para penyelamat Taiwan pada hari Khamis, 03 October 2019.

Dengan penemuan mayat terakhir yang merupakan warganegara Filipina itu ditemui di perairan sekitar waktu tengah hari, maka berakhirlah operasi pencarian sepanjang hari sejak jambatan itu runtuh pada hari Selasa lalu.

Menurut Agensi Kebakaran Kebangsaan, sejumlah enam orang nelayan dari Indonesia dan Filipina terbunuh dalam kejadian tersebut manakala 12 orang lagi cedera.

Siasatan mengenai kejadian jambatan itu telah dilancarkan oleh pihak berkuasa sementara keluarga mangsa pula akan menerima ganti rugi sebanyak RM674,042.

Rakaman CCTV menunjukkan jambatan tunggal sepanjang 140 meter itu runtuh pada Selasa pagi di Nanfang’ao, di pantai timur Taiwan. Dalam video tersebut kelihatan sebuah kabel menegak yang berada di tengah-tengah gerbang keluli jambatan tiba-tiba putus.

YouTube

Jambatan tersebut kemudiannya terus jatuh ke dalam laut lalu menghempap tiga buah bot nelayan yang berada di bawahnya. Sementara itu, sebuah lori yang membawa muatan petrol pula tidak sempat tiba di penghujung jambatan turut terjatuh ke dalam laut lalu meletup dan terbakar.

Taiwan dilanda taufan pada malam Isnin lalu yang membawa kepada hujan lebat dan angin kencang ke bahagian pantai timur. Walau bagaimanapun cuaca kelihatan baik ketika jambatan tersebut runtuh.

Mercu tanda Taiwan tersebut siap dibina pada tahun 1998 dan merangkumi pelabuhan perikanan kecil. Taiwan mempunyai industri perikanan yang besar dan ramai pekerjanya merupakan pekerja migran berpendapatan rendah dari negara-negara luar seperti Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular