JAKARTA: Wilayah Riau diisytiharkan darurat berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah melebihi 500.

Twitter

Gabenor Riau, Syamsuar berkata, status darurat itu bermula semalam dan berlarutan sehingga 30 September ini dan bergantung kepada keadaan semasa.

Syamsuar berkata, pemerintah Riau kini menyediakan tempat pemindahan sementara yang kondusif terutama bagi anak-anak dan wanita hamil.

Sejak 13 September lalu, kualiti udara di wilayah Riau dan Jambi dikategorikan sangat tidak sihat dan tahap kualiti udara yang semakin buruk susulan kebakaran tanah dan hutan di Indonesia menyebabkan seluruh Kabupaten Pelalawan, Riau menjadi kuning akibat asap tebal yang menyelubungi kawasan itu.

Kompas yang memetik seorang penduduk, Huda berkata, asap kuning itu mula kelihatan kira-kira jam 9 pagi dan ia adalah kali pertama berlaku.

“Keadaan mula menjadi kuning. Saya bimbang keadaan esok semakin parah jika tidak hujan,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Berdasarkan data dikeluarkan Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), kualiti udara mencecah paras bahaya di Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat dan Riau.

Bernama Radio/Facebook

Agensi Geofizik, Cuaca dan Meteorologi Pekanbaru (BMKG) pula melaporkan, jumlah titik panas menunjukkan peningkatan berbanding beberapa hari sebelumnya iaitu 205.

“Hari ini jarak penglihatan di Pekanbaru 500 meter, Kabupaten Inhu ialah 400 meter, Dumai 700 meter dan Pelalawan 400 meter. Jarak penglihatan terhad disebabkan asap tebal,” kata jurucakap BMKG, Bibin Sulianto.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 280 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, Indonesia akan dipindahkan ekoran pengumuman darurat di Riau akibat jerebu.

Daripada jumlah tersebut, 160 pelajar akan dibawa pulang ke Malaysia manakala 120 akan dipindahkan ke Dewan Malaysia di Jakarta, Indonesia.

Kata agensi itu, Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi berkaitan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan operasi pemindahan dan membawa pulang 160 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi.

One News Online Official/Facebook

Menurut Konsulat Malaysia di Pekanbaru dan Education Malaysia Indonesia, 280 pelajar yang perlu dipindahkan itu terdiri daripada 183 orang di Pekanbaru dan 97 di Jambi.

Sejak 13 September lalu, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Pekanbaru diarahkan bercuti dan terdapat seramai 214 pelajar Malaysia di universiti berkenaan.

Manakala Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin di Jambi yang mempunyai 110 pelajar Malaysia juga dilaporkan sudah diarahkan bercuti.

Sumber: Twitter, Berita Satu/YouTube

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular