KUALA LUMPUR: Selepas dua hari menyahaktifkan akaun Twitternya, Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kembali menciap pada 7.55 pagi, hari ini.

Menerusi ciapan terbaharu, baginda bertitah, keputusan menyahaktif akaun Twitter bukan disebabkan sedih dengan komen dibuat warganet, sebaliknya atas sebab-sebab peribadi.

“Tapi hari ini, saya sangat kecewa apabila pihak polis telah menangkap beberapa individu. Selama bertahun, Tuanku dan saya tidak pernah membuat laporan polis kerana kata-kata tidak baik mengenai kami. Ini negara bebas,” tulis baginda yang dipetik Harian Metro.

Baginda turut berkongsi perasaan ketika dikejutkan anakandanya, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, mengenai penahan dua individu, awal pagi hari ini.

“Afzan kejut saya tadi, ‘Mama, polis tangkap 2 orang!’ Saya sedih dan marah dan terus aktifkan semula akaun Twitter. Tidak ada niat saya supaya mereka itu ditangkap polis.

“Saya sendiri beritahu pihak istana untuk beritahu pihak polis jangan ambil tindakan. Saya ulangi sekali lagi, saya nyahaktif (Twitter) bukan sebab mereka,” titahnya lagi.

Terdahulu, Tunku Azizah mengejutkan warganet selepas menutup akaun Twitter bermula Rabu lalu.

Kebanyakan pengguna laman sosial itu beranggapan, tindakan baginda berpunca daripada ciapan beberapa pengguna Twitter yang menurunkan komen negatif termasuk berunsur menghina institusi diraja sebelum ini.

Terdahulu, seorang pengguna laman sosial yang menggunakan nama @frdsasrf semalam membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Tuanku Azizah berikutan dikecam menjadi penyebab kepada penutupan akaun Twitter baginda.

Pengguna Twitter itu, Firdaus Asraf membuat status ‘Warkah Memohon Ampun Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah’ sambil disusuli dengan ucapan permohonan maaf.

Rata-rata pengguna Twitter kecewa kerana mereka tidak dapat lagi mengikut perkembangan semasa Tunku Azizah yang cukup dikenali sebagai raja berjiwa rakyat.

Pengguna Twitter yang menggunakan nama @iffgone menulis, sejak akhir-akhirnya dia merasai ada penyeri di laman sosial apatah lagi dengan kehadiran Tunku Azizah yang cukup merendah diri sejak sekian lama.

Malah, ada yang memberitahu, Tunku Azizah memang berjiwa rakyat sejak dahulu lagi termasuk turut sama membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir di Pahang.

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular