Teknologi pengimbasan wajah merupakan satu bukti kecanggihan yang semakin menakjubkan dalam dunia yang serba moden ini. Dahulu, kita menganggap sistem pengecaman menerusi imbasan cap jari di telefon pintar atau alat merekod kedatangan itu sudah moden tetapi kini, teknologi semakin hari semakin berkembang dengan pesatnya.

Anda mungkin sudah biasa dengan sistem imbasan wajah menerusi telefon pintar tetapi bagaimana pula dengan sistem sama yang digunakan bagi merekodkan kehadiran? SMK Tunku Abdul Aziz menjadi pencetus inovasi teknologi tinggi apabila menggunakan sistem imbasan dan pengecaman wajah untuk tujuan merekodkan kedatangan guru dan juga para pelajar.

Sebagai sekolah pertama di Kedah yang menggunakan sistem berkenaan, teknologi imbasan wajah ini mula dilancarkan di sekolah pada 27 Ogos lalu dan dijadikan sebagai satu alternatif untuk merekodkan kedatangan khususnya bagi mereka yang mengalami masalah untuk menggunakan alat pengimbas jari sebelum ini.

Menurut pengetua sekolah, Nur’asikin Othman, terdapat beberapa kesulitan yang dialami oleh segelintir guru dan juga pelajar ketika menggunakan sistem pengimbas jari. Memandangkan sistem imbasan wajah ini hanya terhad kepada 100 orang pengguna sahaja, maka pihak sekolah memutuskan untuk menjadikan teknologi tersebut sebagai satu alternatif bagi mereka yang cap jarinya tidak boleh diimbas.

“Ada sesetengah murid dan guru mempunyai masalah cap jari menyebabkan imbasan jari mereka tidak dapat dibaca mesin pengimbas jari. Justeru, mesin pengimbas wajah ini lebih berkesan kerana pengguna hanya perlu berdiri di depan mesin berkenaan untuk diimbas wajahnya”.

Jelas Nur’asikin lagi, terdapat lima buah mesin pengimbas dipasang di sekitar kawasan sekolah di mana empat daripadanya merupakan mesin pengimbas jari manakala satu lagi mesin pengimbas wajah yang diletakkan di pejabat. Dengan adanya kecanggihan teknologi ini, masalah disiplin seperti ponteng sekolah dan pelajar pulang awal sebelum tamatnya sesi persekolahan berjaya dikurangkan.

“Jika sebelum ini mereka ambil ringan apabila kita merekodkan kedatangan melalui imbasan cap jari tetapi dengan sistem imbasan wajah ini, mereka akan rasa undang-undang sekolah lebih ketat. Sebarang kesalahan yang mereka lakukan, guru dapat mengenal pasti identiti pelajar dengan lebih mudah”.

Selain meringan beban guru untuk merekod kehadiran pelajar ke sekolah, sistem yang dihubungkan dengan aplikasi Pepatih MySekolah itu turut menyimpan rekod maklumat pelajar ke dalam sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) Kementerian Pendidikan. Dalam erti kata yang lebih mudah, ia membolehkan ibu bapa untuk memantau sendiri rekod kehadiran anak ke sekolah serta melihat prestasi anak masing-masing di sekolah.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular