SUBANG JAYA: Pasar Raya terbesar di negara ini, Mydin mengumumkan menghentikan penjualan produk yang dilabelkan ‘Bebas Minyak Sawit’ di seluruh cawangan dalam usaha menyokong tindakan kerajaan menangani kempen anti-minyak sawit.

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya telah mengarahkan semua cawangannya supaya menurunkan kesemua produk berkenaan.

“Pelabelan itu yang membawa maksud minyak sawit tidak baik, merupakan tindakan pemasaran tidak bertanggungjawab dan sebagai pasar raya utama yang bertanggungjawab di Malaysia, Mydin tidak akan menyokongnya.

“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, apabila kerajaan membuat keputusan, kita perlu sokong keputusan itu khususnya apabila ada pihak cuba melakukan sesuatu yang negatif kepada negara kita, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab untuk kita tidak menyokongnya,” katanya.

Terdahulu Menteri Industri Utama, Teresa Kok  melancarkan Karnival “Sayangi Minyak Sawitku” anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia dengan kerjasama Mydin.

Mengulas lanjut Ameer berkata, pihaknya mengambil inisiatif berkenaan selepas pengumuman oleh kerajaan baru-baru ini yang sedang mempertimbangkan larangan ke atas produk anti-minyak sawit di pasaran domestik.

Sementara itu, Kok pula menyifatkan langkah berani Mydin mengeluarkan produk dengan label ‘bebas minyak sawit’ daripada rak jualannya wajar dipuji dan beliau berharap pasaraya dan peruncit yang lain turut mengikut langkah itu.

Di negara jiran Indonesia, produk makanan tempatan dan import dengan label “Bebas Minyak Sawit” atau “tiada minyak sawit” dikeluarkan dari kedai runcit sejak bulan lalu.

Indonesia yang merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, turut berjanji melakukan tindakan balas terhadap sebarang dasar yang akan melumpuhkan pengeksportan komoditi terbesarnya.

Dalam masa sama, Kok berkata, kementeriannya kemungkinan mengambil langkah serupa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berikutan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan, dan beliau percaya perkara itu sedang dikaji.

Sumber: Free Malaysia Today, Malaysiakini

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular