Sukan merupakan satu medium bagi membentuk penyatuan serta semangat kebersamaan antara semua pihak bahkan dengan pasukan serta para penyokong pihak lawan. Semua pihak seharusnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan selain memberi sokongan padu buat pasukan masing-masing.

Namun satu insiden tidak diingini berlaku pada 5 September yang lalu semasa perlawanan pusingan kelayakan FIFA World Cup 2022 antara Malaysia dengan Indonesia bertukar menjadi kecoh di stadium sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan buat sementara.

Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia menyaksikan sebahagian besar penyokong pasukan Indonesia hadir bersama-sama bagi memberi sokongan buat pasukan negara mereka.

Keadaan menjadi tidak terkawal setelah hampir minit ke 75 perlawanan, memaksa perlawanan dihentikan selama 5-7 minit ekoran sebab-sebab yang tidak dapat dikenalpasti. Sungguhpun begitu, masalah tersebut difahamkan telah berlaku ekoran sikap para penyokong.

Dipercayai bahawa ia berpunca daripada segelintir penyokong Indonesia yang telah cuba memasuki kawasan penyokong Malaysia selain turut melemparkan suar, botol serta batu yang seterusnya menyebabkan kekecohan.

Insiden berkenaan ternyata mendapat perhatian serius daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut bersama-sama para penyokong Malaysia di stadium berkenaan.

Menurutnya, FAM akan membuat aduan kepada pihak FIFA manakala dirinya akan menyuarakan perkara ini kepada kerajaan Indonesia. Keselamatan pemain serta para penyokong Malaysia merupakan keutamaan buat Syed Saddiq.

Selain itu, para penyokong Malaysia di sana juga perlu menunggu untuk sementara waktu di bilik khas sehingga keadaan reda di kawasan stadium setelah perlawanan tersebut tamat beserta dengan kawalan yang ketat bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

Kejadian ini sepatutnya tidak berlaku apatah lagi menerusi acara sukan yang sepatutnya menyatukan umat manusia dengan semangat kesukanan yang tinggi. Walau bagaimanapun, tuah berpihak kepada pasukan Malaysia apabila berjaya menewaskan Indonesia (3-2).

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL NASIONAL SUKAN

Video Popular