TAWAU: Bukan mudah untuk menerima kenyataan bahawa rumah yang selama ini menjadi tempat berteduh habis dijilat api pada hari Isnin, 2 September lalu.

Kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Otentik, Tanjung Batu itu dilaporkan telah memusnahkan 69 buah rumah dan 511 orang mangsa hilang tempat tinggal.  

Namun begitu, kesedihan mereka sedikit terubat dengan kunjungan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam. Kunjungan tersebut dikatakan telah berjaya memulihkan semangat mangsa-mangsa tersebut. 

Hakim Lira, 77, berkata dia sangat gembira kerana dia tidak pernah menyangka bahawa dia akan bertemu sendiri dengan baginda Yang di-Pertuan Agong di depan mata. Menurut Hakim, pertemuannya dengan baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan pengalaman seumur hidup. Dia juga terharu kerana walaupun Baginda sibuk dengan tugas seharian namun Baginda masih tetap meluangkan masa untuk melawat mereka yang ditimpa musibah.

“Kami sangat teruja dan sangat gembira dengan lawatan ini, kami berdoa agar Baginda diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dilindungi oleh Allah,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Lamba Baba, 66, yang turut menerima bantuan berkata peluang untuk berjabat tangan dengan Baginda adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Semalam, saya melihatnya di TV semasa perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya. Hari ini, saya berjumpanya di sini”.

“Terima kasih kerana menghabiskan masa untuk melawat kami dan memberikan bantuan,” katanya.

Sultan Abdullah yang tiba di Masjid Al-Mukarramah, Tanjung Batu telah diberikan sedikit taklimat mengenai kebakaran sebelum meluangkan kira-kira sejam untuk bertemu dengan keluarga yang terlibat dan memberi bantuan.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan Sabah kerana membantu mangsa-mangsa kebakaran tersebut.

“Saya tahu mengenai kejadian kebakaran tersebut ketika saya berada di Indonesia, sebenarnya ada satu lagi kebakaran di Kampung Lembing, Pahang pada Hari Kebangsaan lalu yang mengorbankan dua nyawa, saya memutuskan untuk datang ke sini terlebih dahulu sebelum pergi ke Pahang,” katanya.

Sultan Abdullah berharap agar kerajaan negeri akan mengkaji semula idea untuk membina rumah mangsa kebakaran di kampung itu.

“Saya menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk memastikan mangsa mendapat tempat tinggal buat masa ini.”

Sumber: NST

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular