- Era Baru Malaysia - http://mb.erabaru.com.my -

Pasaraya Costco pertama yang baru dibuka di Shanghai diserbu lautan pelanggan agresif

Kita semua pantang mendengar perkataan-perkataan seperti ‘jualan murah, diskaun sehingga 70%, promosi hebat sempena bulan kemerdekaan, beli 1 percuma 1’ dan bermacam-macam lagi. Setiap kali adanya jualan murah, pasti ramai manusia akan mengerumuni premis berkenaan bagi mendapatkan barangan pada harga murah!

Di Malaysia pernah berlaku beberapa peristiwa melibatkan ribuan manusia yang sanggup beratur panjang dan membanjiri pusat membeli-belah demi merebut peluang untuk mendapatkan telefon pintar jenama terkemuka dengan harga yang sangat rendah! Terdapat juga insiden lain yang menggambarkan betapa rakyat kita sukakan promosi dan barangan murah. Namun, apa yang berlaku di Malaysia mungkin tidak seekstrem seperti di Shanghai.

Gambar Hiasan | Scott Olson/Getty Images

Baru-baru ini, sebuah gudang runcit dari Amerika iaitu Costco telah melancarkan pembukaan cawangan yang pertamanya di China. Dengan tawaran harga diskaun sebanyak 50% untuk hampir kesemua item, pasaraya ini telah dibanjiri dengan lautan manusia pada hari pembukaan tersebut. Orang ramai dilihat mula membanjiri perkarangan pasaraya dan terus menyerbu masuk meskipun pintu premis belum dibuka sepenuhnya!

Bukan sahaja itu, mereka turut kelihatan merebut barangan-barangan yang dijual di pasaraya ini termasuklah barangan di bahagian produk segar… Dalam video yang dikongsikan oleh South China Morning Post ini, anda boleh perhatikan bagaimana sekumpulan pelanggan wanita merebut daging mentah sehingga menyebabkan sebahagian daging itu tercarik dan terputus dua!

Sikap agresif yang ditunjukkan oleh pelanggan-pelanggan ini benar-benar membuktikan bahawa majoriti manusia memang ‘pantang’ mendengar mengenai jualan murah! Selain daripada gigih beratur panjang sementara menunggu pintu premis dibuka, pelanggan-pelanggan ini juga perlu beratur lama di kaunter pembayaran! Namun itu semua bukan satu masalah bagi mereka asalkan mereka berpeluang untuk membeli barangan dengan harga yang murah dari pasaraya ini…

Situasi menjadi semakin tidak terkawal apabila lambakan pelanggan terus menyerbu ke dalam Costco sehingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil alih dan mengarahkan penutupan premis lebih awal daripada waktu yang ditetapkan.

Penularan video berdurasi 2 minit 5 saat yang merakamkan situasi ekstrem ini mengundangkan pelbagai reaksi positif dan negatif dari netizen. Antaranya:

“Murah. Kebanyakan produk dijual dengan diskaun 50% dan polisi pemulangan semula barangan dalam tempoh 90 hari. Saya rasa premis ini akan dipenuhi manusia setiap hari”

“Sebenarnya bukan kerana murah. Mereka hanya memiliki sifat ingin tahu yang tinggi dan tiada pekerjaan lain untuk dilakukan”

Apa pandangan anda tentang situasi tersebut. Adakah ianya lumrah manusia yang ‘gilakan’ barangan murah atau salah pihak lain kerana menganjurkan diskaun hebat seperti itu?

loading...