KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap skim perlindungan sosial baharu ke atas suri rumah di Malaysia dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi memberi perlindungan keselamatan kepada golongan itu biarpun mereka tidak bekerja.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, cadangan itu diharapkan akan menjadi realiti kepada 1.4 juta suri rumah yang disasarkan dan dilaksanakan pada 1 Januari 2020.

“Suri rumah ketika ini tiada perlindungan keselamatan sosial dan sebab itu Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran baru-baru ini menyatakan banyak kali termasuk di Parlimen bahawa kita perlu ada perlindungan untuk suri rumah.

“Jadi saya sangat berharap ia akan jadi realiti kerana suri rumah tidak ada sebarang perlindungan keselamatan. Sekiranya berlaku apa-apa, tiada sebarang faedah akan mereka peroleh,” katanya yang dipetik Sinar Harian dalam wawancara khas di pejabatnya.

Mengulas lanjut, Dr. Mohammed Azman berkata, bagi suami yang berkemampuan, kemungkinan boleh membelikan perlindungan insurans untuk isteri.

“Tapi bagi yang tak mampu, suri rumah tidak akan ada apa-apa jika berlaku kemalangan.

“Maka dengan caruman Perkeso  sedikit sebanyak memberi perlindungan untuk suri rumah ini seperti yang telah diimplementasikan kepada pemandu teksi, bas dan e-hailing,” tegasnya.

Namun beliau mengakui, pihaknya tiada sebarang kuasa untuk mengumumkan mengenai pelaksanaan skim tersebut kerana masih diperingkat perbincangan dan diperhalusi di kementerian.

“Saya harap ia akan dapat kelulusan dan mekanisme bayaran akan kita lihat nanti berikutan cadangan ini telah lama (disuarakan), tetapi masih dalam perbincangan.

“Siapa akan bayar caruman itu masih dalam perbincangan kerana pihak kami kalau boleh tidak mahu bebankan suami, kerana mungkin ada suri rumah yang mampu dan bersedia melakukannya, kami sedang lihat cara untuk membantu,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia merancang supaya 1.4 juta suri rumah di negara ini didaftarkan untuk perlindungan Perkeso.

Sementara itu memetik Berita Harian, seramai 109,022 suri rumah dan wanita telah mendaftar di bawah program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) setakat 30 Jun lalu.

Perkara tersebut disahkan sendiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan Kelantan negeri paling tinggi pendaftaran i-Suri iaitu seramai 20,213 orang diikuti Sarawak dan Terengganu, masing-masing 18,364 dan 17,731 orang.

“Bagi menggalakkan pendaftaran i-Suri dalam kalangan wanita dan suri rumah yang memenuhi kriteria kelayakan, kementerian melalui agensi pelaksana seperti Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) masih menggiatkan aktiviti promosi i-Suri melalui inisiatif pasukan bergerak dan siaran media,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular