AIR ITAM: Seorang lelaki warga emas yang melecur 80 peratus di badannya akibat letupan gas di rumahnya di Pangsapuri Green Garden, Jalan Paya Terubong, di sini dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa Lee Kok Eang, 62, meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi Selasa.

“Hasil siasatan pihak bomba mendapati punca kejadian disebabkan kebocoran pada kepala dan penyambung gas.

“Gas petroleum cecair (LPG) telah memenuhi ruang rumah sebelum berlaku letupan sewaktu warga emas berkenaan mahu menyalakan api rokoknya,” katanya yang dipetik Bernama.

Terdahulu, mangsa  dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dilaporkan dalam keadaan stabil manakala anak lelaki dan isteri serta anak mereka yang turut berada dalam rumah semasa kejadian tidak mengalami kecederaan.

Che Zaimani berkata, menurut maklumat daripada anak mangsa, Lee Chye Soon, 38, ketika kejadian dia dan isteri serta anak sedang tidur di dalam bilik manakala bapanya berada di ruang tamu menonton televisyen.

Anak lelakinya terus meluru ke ruang tamu selepas  terdengar bunyi letupan kuat dan melihat bapanya cedera dengan pemetik api dan rokok berada berhampirannya.

Pada Ahad lalu, Kok Eang melecur kira-kira 80 peratus selepas berlaku letupan di rumahnya di Pangsapuri Green Garden.

Foto JBPM

Kejadian kira-kira pukul 8.16 pagi itu turut mengakibatkan beberapa bahagian dinding flat di tingkat 20 itu runtuh.

Selain Kok Eang, seorang lagi wanita berusia lingkungan 50-an turut mengalami kecederaan 15 peratus pada anggota badannya selepas terkena runtuhan dinding di dalam biliknya.

Sumber: Bernama, Utusan Malaysia, Astro Awani

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular