KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bermula hari ini ditunda ke Isnin depan, 26 Ogos.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah memaklumkan penangguhan itu dibuat selepas mendengar hujah kedua pihak dan mempertimbangkan alasan yang diberi.

Pihak pendakwaan pada asalnya meminta penangguhan dan mencadangkan 3 September depan sebagai tarikh bicara kes 1MDB dengan alasan masih belum menyelesaikan beberapa isu pendakwaan.

Ia termasuk pihak pendakwaan masih belum memberi kenyataan saksi kepada 12 orang kerana masalah pengurusan.

Peguam kanan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga menyokong tarikh 3 September itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata kes 1MDB tidak boleh diteruskan kerana perbicaraan SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib masih berlangsung di depan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.

“Saya difahamkan saksi terakhir pendakwaan (pegawai penyiasat Rosli Hussain) sedang memberi keterangan dan pihak pembelaan akan periksa balas beliau sebelum kes itu ditutup.”

Katanya, atas sebab pentadbiran, pasukan pendakwaan hanya menyerahkan keterangan 12 saksi pada Jumaat lalu, oleh itu perbicaraan hanya boleh bermula dalam masa 14 hari mengikut Seksyen 402B Kanun Prosedur Jenayah.

“Kami juga akan menyerahkan 15 ikatan besar dokumen kepada pihak pembelaan hari ini.” katanya yang dipetik Free Malaysia Today.

Hakim menetapkan pengurusan kes pada Khamis ini dan perbicaraan ditetapkan buat sementara waktu pada Isnin depan.

Sebelum ini, Sequerah menetapkan hari ini sehingga 14 November depan untuk prosiding perbicaraan 1MDB.

Najib juga berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa pada September 2018 atas dakwaan memasukkan RM2.28 bilion dana 1DMB ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Bekas perdana menteri itu turut berdepan 3 pertuduhan lain dan tarikh perbicaraan kes berkenaan ditetapkan pada 13 Januari sehingga Jun 2020.

Skandal mega yang dikaitkan dengan najib yang juga bekas menteri kewangan berhubung salah guna wang negara itu mencuri tumpuan dunia sejak dilaporkan media pada 2015.

Skandal itu juga dikatakan menjadi faktor utama tumbangnya pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU 9 Mei tahun lalu.

Sehingga kini, Najib telah didakwa di mahkamah sebanyak enam kali dengan 42 pertuduhan jenayah.

Najib, yang juga bekas Presiden UMNO, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan terbabit dan minta dibicara.

Sumber: Free Malaysia Today, Astro Awani, Berita Harian

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular