- Era Baru Malaysia - http://mb.erabaru.com.my -

Pelayan restoran terkedu terima hadiah kereta sebagai ‘tip’ daripada pelanggan

WASHINGTON- Seorang pelayan wanita sebuah restoran di Arkansas terkejut selepas menerima sebuah kereta jenis Buick Encore 2019 sebagai ‘tip’ daripada dua orang pelanggan tetap yang sering mengunjungi restoran berkenaan.

Maria Elena Barragan yang bekerja di Restoran Mexican Abuelo’s berkata, dia tidak menyangka menerima hadiah daripada pelanggan dan menganggap pemberian penuh bermakna berkenaan adalah hadiah dari Tuhan.

Ibu kepada dua anak lelaki itu berkata, selepas tamat sesi bekerja pada 2 Ogos lalu, dia sangat terkejut apabila dimaklumkan dua pelanggan tetapnya, David Harrison dan pasangannya, Shelia Harrison mahu bertemu dengannya selepas selesai menjamu selera di restoran berkenaan.

“Pada awalnya saya sangat takut, saya fikir ada melakukan kesalahan sehingga dipanggil pelanggan untuk menegur saya sepanjang melayan pelanggan mereka berdua menjamu selera di restoran tersebut,” ujarnya yang dipetik Arkansas Democrat Gazette.

David dan Shelia kemudian memanggilnya ke meja mereka sebelum menyerahkan hadiah dan memberitahu pemberian itu sebagai penghargaan kepada wanita berkenaan.

Dua pelanggan tersebut turut menyerah sebuah beg dengan tulisan ‘tip’ yang berisi sebuah pamplet dan kunci kereta bersama dokumen lengkap kenderaan tersebut kepada Maria.

Pada mulanya, Maria menolak pemberian berkenaan kerana menganggap terlalu mahal dan eksklusif namun pasangan Harrison itu meminta dia menerima pemberian berkenaan.

“Saya tidak boleh terima hadiah ini sebagai tip tetapi saya menerima sebagai hadiah ini dari Tuhan,” ujar Maria.

Kereta baru itu dilaporkan akan menggantikan kereta lamanya, Chevy Trailblazer yang digunakan sejak 2005.

Pasangan berkenaan merupakan pelanggan tetap restoran sejak beberapa tahun.

Sumber: Sinchew [1], Foxnews [2]

 

 

loading...