- Era Baru Malaysia - http://mb.erabaru.com.my -

Perdana Menteri luah rasa malu terhadap tahap kebersihan tandas awam di Malaysia

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa beliau amat malu dengan tahap kebersihan tandas awam di negara ini yang kotor serta busuk. Ia mencerminkan masyarakat Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab sivik.

Beliau dengan sendiri selalu melakukan pemeriksaan di tandas awam dan mendapati ia selalu berada dalam keadaan kotor.

“Saya amat malu kerana saya sering kali pergi inspection toilet di Malaysia untuk tengok bersih atau tidak, biasanya tidak, dan busuk.

“Itu mencerminkan sifat yang ada pada kita. Sepatutnya kita berasa malu, tetapi kita berpendapat, tak ada orang akan tahu siapa (yang) buat,” katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan di Dewan De’ Seri Endon.

Turut sama hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Bukan itu sahaja, Tun Dr. Mahathir turut malu dengan perbuatan lain yang mencemar dan merosakkan alam sekitar seperti membuang sampah merata-rata, mencuri dan menconteng dinding.

“Kalau dia conteng dinding dengan cara yang terbaik (mural) tak apa juga. Tetapi (perbuatan mereka) ini cuma mencemarkan kebersihan dinding-dinding yang terdapat di (tepi) jalan dalam bandar,” katanya.

Beliau berkata perbuatan yang tidak bermoral ini berlaku bukan disebabkan oleh undang-undang yang tidak ketat, tetapi ia adalah sikap individu sendiri yang gagal mengawal dan mendisiplinkan diri.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa jika kesedaran sivik tidak diterapkan dalam diri rakyat Malaysia, maka ia akan membawa masalah kepada negara selain mencerminkan imej Malaysia.

 

 

 

loading...