TANJUNG MALIM – Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan satu kejadian rompakan melibatkan sejumlah wang kira-kira RM300,000 yang berjaya dilarikan oleh sekumpulan perompak daripada mesin pengeluaran wang tunai automatik (ATM).

Insiden yang berlaku di Jalan Haji Mustafa Raja Kamala tersebut difahamkan terjadi pada jam 6:30 pagi dan menurut Wan Kamarul, jumlah keseluruhan kerugian insiden tersebut masih belum dapat dipastikan.

Ini kerana, pihaknya masih lagi menunggu hasil siasatan Unit Forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Ipoh yang turut bekerjasama dalam membantu menyiasat kes rompakan tersebut.

Difahamkan bahawa pihak bank telah memasukkan wang tunai sebanyak RM300,000 pada petang 11 Ogos. “Tiga buah mesin ATM telah rosak dipercayai telah diletupkan, cermin berhampiran mesin juga turut pecah menyebabkan kaca bertaburan di kaki lima bank terbabit.”

Siasatan awal polis mendapati bahawa terdapat cecair kimia yang terletak di dalam kawasan tempat letak kenderaan yang digunakan untuk meletupkan mesin ATM berkenaan. Selain itu juga, terdapat kesan tompokan darah dipercayai milik suspek.

Pihak polis juga sedang cuba untuk mendapatkan rakaman CCTV, selain meminta bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular