- Era Baru Malaysia - http://mb.erabaru.com.my -

Lelaki maut selepas berlaku perselisihan faham di Lebuh Raya Kuala Lumpur- Seremban PLUS

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas berlaku perselisihan faham dengan seorang lagi lelaki berikutan terlibat kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur- Seremban (PLUS) pada Sabtu yang lalu.

Dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 239 berhampiran susur Bandar Baru Bangi itu mangsa dikatakan bergelut dengan suspek yang berusia 40-an ekoran pergaduhan kecil di antara mereka selepas terlibat kemalangan di lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa yang berusia 29 tahun itu kemudian dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia selepas dikatakan bergelut dengan suspek.

“Kejadian berlaku pada kira kira jam 3.40 petang selepas pihak polis menerima maklumat dari Hospital Nilai mengenai seorang lelaki yang telah meninggal dunia.

Siasatan polis mendapati punca kematian mangsa berpunca daripada insiden perselisihan faham semasa kemalangan berhampiran susur Bandar Baru Bangi,” katanya yang dipetik Astro Awani.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek dan isterinya yang berusia awal 30-an kini ditahan bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 15 saat berkaitan insiden berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Siti Aisyah Saad di talian 016-406 4202 atau ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sumber: Astro Awani [1]Sinar Harian [2]

 

loading...