- Era Baru Malaysia - http://mb.erabaru.com.my -

467 rumah dan lebih 50 buah sekolah musnah teruk akibat ribut melanda Perlis

KANGAR: Kira-kira 467 buah rumah dan lebih 50 buah sekolah di sini dilaporkan musnah teruk dan terjejas akibat ribut yang melanda Jumaat malam lalu.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis dalam kenyataan berkata, berdasarkan laporan yang diterima sehingga 6 petang, sejumlah 303 rumah dilapor rosak di Kangar; 86 rumah di Arau; dan 78 rumah di Padang Besar.

Kejadian pokok tumbang dilapor di 11 lokasi di seluruh negeri dan sehingga kini kerja-kerja pembersihan giat dijalankan.

Katanya, akibat kejadian itu, turut berlaku satu kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal akibat pokok tumbang di Jalan Tambun Tulang.

Dalam masa sama, hampir 50 sekolah termasuk 35 sekolah rendah di sini mengalami pelbagai kerosakan akibat ribut berkenaan dan antara sekolah yang terjejas teruk ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis di Kangar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi di Simpang Empat dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah di Kaki Bukit.

Jumlah kerugian masih dalam taksiran.

Jumaat lalu, hujan lebat disusuli angin kencang membadai beberapa negeri di utara Semenanjung melibatkan Pulau Pinang, Perlis dan Kedah, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang, bekalan elektrik terputus, selain rumah dan kemudahan awam rosak.

Angin bertiup kencang bermula kira-kira pukul 8 malam dan hanya reda pada pukul 10.45 malam.

Sumber: Bernama [1], Utusan Malaysia [2]

 

loading...