Sejak kebelakangan ini, kita seringkali mendengar berita kes samun yang berlaku di seluruh Malaysia dan bilangan kes ini semakin membimbangkan.

Para penjenayah lazimnya akan muncul dengan pelbagai idea yang berlainan untuk melakukan jenayah samun tidak kira waktu dan jantina mangsa.

Oleh itu, sebaik-baiknya kita ‘menyediakan payung sebelum hujan’ dengan cara sentiasa berwaspada dengan tindak-tanduk diri sendiri dan sentiasa berhati-hati walau dimanapun kita berada.

Baru-baru ini, laman Facebook Polis Kedah telah memuat naik taktik terbaharu yang digunakan oleh penjenayah jenis samun untuk mendapatkan habuan daripada mangsa. Taktik ini lebih menekankan terhadap mangsa yang memandu kereta di jalan raya.

Polis Kedah/Facebook

Menurut kiriman, lazimnya penjenayah samun ini akan menunggang sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua orang lelaki dan mereka akan menunjukkan isyarat tangan ke arah tayar kereta mangsa di bahagian kiri atau kanan.

Kemudian, sekiranya pemandu masih tidak mahu memberhentikan kereta, dua orang lelaki lagi yang menaiki motosikal yang berlainan akan muncul dan menunjukkan perkara yang sama bagi mewujudkan rasa khuatir pada pemandu agar pemandu yakin untuk memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

Setelah taktik ini berjaya, suspek akan turun dari motosikal dan kononnya menunjukkan kerosakan pada tayar kereta yang ditunjukkan sebelum itu. Pada masa yang sama, sebuah lagi motosikal yang dinaiki oleh dua orang suspek yang lain pula akan turut berhenti tidak jauh dari kenderaan mangsa.

Setelah mangsa keluar dari kereta atau menurunkan tingkap kereta, suspek dari motosikal pertama akan mula bertindak untuk melarikan kenderaan atau menyamun mangsa.

Gambar sekadar hiasan/Pixabay

Oleh itu, orang ramai diingatkan untuk berwaspada dan jika anda berada dalam situasi ini, anda dinasihatkan untuk terus memandu kenderaan ke balai polis berdekatan atau kawasan tumpuan ramai atau berhenti di kawasan selamat seperti kedai serbaneka 24 jam mahupun stesen minyak 24 jam.

Disamping itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak panik dan kenal pasti nombor kenderaan yang dinaiki oleh suspek dan beberapa maklumat lain seperti jenis motosikal, warna motosikal, nombor pendaftaran, bangsa, pakaian dan jantina suspek.

Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa memiliki nombor telefon bilik gerakan mana-mana balai polis berdekatan selain daripada membunyikan hon beberapa kali untuk menarik perhatian pengguna jalan raya yang lain.

Bukan itu sahaja, kiriman itu juga mengingatkan orang ramai untuk tidak menggadaikan nyawa demi menyelamatkan harta benda sekiranya berlaku pergelutan.

Sumber: Polis Kedah/Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular