KANGAR: Gara-gara tertidur ketika menghisap rokok, seorang buruh tidak menyedari puntung rokoknya yang masih menyala telah menyemarakkan api yang sekali gus membakar rumahnya dan hampir meragut nyawanya sendiri. Mangsa, Khairul Arnizar Embi, 35 berkata, dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.50 tengah hari  Sabtu lalu, dia baru pulang dari kerja sebelum tertidur di ruang tamu di rumahnya di Pangsapuri Seri Sena.

Katanya, dia terlelap tanpa memadam api rokoknya sebelum tersedar apabila terhidu bau asap dan mendapati ruang tamu dipenuhi asap lalu terus keluar menyelamatkan diri.

“Sebelum tertidur saya ada menyalakan sebatang rokok dan menghisapnya, namun kerana kepenatan saya tidak sedar rokok itu terlepas dari tangan saya.

“Saya hanya sedar apabila rumah dipenuhi dengan kepulan asap hitam dan bertindak keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Pemuda berusia 35 tahun itu berkata, sehingga kini dia masih trauma kerana tidak menyangka kebakaran rumah di tingkat satu itu dipercayai berpunca daripada sebatang rokok.

“Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata sahaja. Saya tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah dan ketika itu hanya fikirkan keselamatan diri.

“Saya pun tidak tahu jumlah anggaran kerugian kerosakan rumah. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana api tidak merebak ke rumah jiran yang lain,” katanya.

Dia kini menumpang di rumah ibu saudaranya di blok yang sama di pangsapuri berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Mohd Khairull Rizall Yahya, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.58 tengah hari, pada hari kejadian.

Katanya, seramai 10 anggota dan tiga jentera bomba dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian selepas kira-kira 70 peratus unit pangsapuri itu terbakar,” katanya.

Sumber: Berita Harian, Kosmo

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular