Setiap kali membuka media sosial sama ada Facebook, Instagram dan sebagainya, pasti akan ada sahaja ‘wajah-wajah orang tua’ yang membanjiri platform media sosial. Fenomena aplikasi FaceApp kini menjadi satu trend terkini dan bukan sahaja menjadi ikutan warganet di Malaysia tetapi juga seluruh dunia!

Bagi yang belum pernah terjebak, FaceApp merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh sebuah syarikat Rusia dan dikelolakan oleh Yaroslav Goncharov. FaceApp pernah menjadi tular beberapa tahun lalu ketika di awal penerbitannya iaitu tahun 2016. Aplikasi ini mempunyai teknologi kepintaran buatan atau artificial intelligence (AI) di mana ia boleh mengubah gambar anda menjadi tua, muda, mempunyai janggut, rambut berwarna dan sebagainya…

KIRILL KUDRYAVTSEV/AFP/Getty Images

Penularan fenomena secara global ini turut memperlihatkan bukan sahaja orang biasa tetapi juga selebriti terkenal memaparkan wajah tua mereka di media sosial! Bagaimanapun, ada pihak yang mendakwa dan memberikan amaran kepada orang ramai agar tidak lagi menggunakan aplikasi itu yang dikatakan boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan pengguna.

Hal ini demikian kerana secara terang-terangan di ruang Terma dan Syarat, termaktub bahawa:

“Anda membenarkan FaceApp secara rela, tidak eksklusif, bebas royalti, seluruh dunia dan lesen untuk mengguna, menghasilkan semula, mengubah, menerbitkan, mentafsir, mencipta kerja yang diterbitkan, mengagihkan, memaparkan User Content anda dan sebarang nama, nama pengguna yang disediakan berkaitan User Content di semua format media dan saluran tanpa memberikan pampasan kepada anda. Apabila anda memuat naik atau berkongsi User Content melalui perkhidmatan kami, anda faham bahawa User Content anda dan informasi berkaitan lain (seperti nama pengguna, lokasi atau gambar profil) akan dipaparkan kepada umum”.

Dalam erti kata yang lebih mudah, anda memberikan kebenaran kepada aplikasi ini untuk memiliki kawalan dan hak mutlak dalam menggunakan gambar anda di samping mengumpul maklumat peribadi anda secara percuma.

Bagaimanapun, beberapa pakar profesional dalam industri teknologi mengeluarkan kenyataan bahawa terma dan syarat seperti yang dinyatakan oleh syarikat FaceApp adalah sesuatu yang normal dan tidak membawa sebarang ‘agenda’ tersembunyi. Menurut penyelidik keselamatan siber iaitu Jane Manchun Wong, beliau menjelaskan bahawa tindakan memuat naik kepada ke aplikasi ini adalah bertujuan untuk membolehkan FaceApp memproses imej berkenaan sekali gus memberikan hasil suntingan seperti yang dikehendaki.

“Dari sudut perspektif perniagaan, menyembunyikan kod pemprosesan gambar akan menyukarkan pihak pesaing untuk menirunya.”

Memetik laporan The Verge, FaceApp turut mengeluarkan kenyataan berbalas yang memaklumkan bahawa semua gambar akan dipadamkan secara automatik daripada server selepas tempoh 48 jam. Malahan, pengguna juga boleh meminta untuk memadamkan data mereka daripada server tersebut. 

Meskipun pihak FaceApp menafikan mengenai penjualan data tersebut kepada pihak ketiga, kita sebagai pengguna yang bijak perlulah berhati-hati dan sentiasa berwaspada.

Sumber: Free Malaysia TodaySAYS

Maybe you're interested :

Share

Video Popular