PARIS – Seorang menteri Kabinet Perancis telah mengumumkan perletakan jawatannya selepas didakwa menikmati jamuan makan malam mewah dengan menggunakan duit rakyat. Selain itu, beliau turut dikhabarkan menyalahgunakan perumahan awam.

Menteri Alam Sekitar Perancis ini iaitu Francois de Rugy telah dilantik untuk memegang jawatan berkenaan pada September tahun lalu. Bagaimanapun, seminggu selepas laman web Mediapart membuat pendedahan mengenai dakwaan terbabit, Francois terus mengumumkan mengenai perletakan jawatannya. Dalam laporan berkenaan, Mediapart telah memberikan bukti yang memaparkan gambar Francois bersama isteri sedang menikmati hidangan mewah berupa udang galah dan juga champagne.

GEOFFROY VAN DER HASSELT/AFP/Getty Images

Mediapart turut mendakwa bahawa hidangan mewah itu dibayar menggunakan wang pembayar cukai namun dinafikan oleh Francois yang kemudiannya memaklumkan jamuan itu diadakan sebagai sebahagian daripada tugasnya ketika mewakili Himpunan Kebangsaan.

Beliau yang juga menteri kanan kedua selepas Perdana Menteri Edouard Philippe memaklumkan bahawa keputusan untuk meletakkan jawatan tersebut diambil memandangkan keluarganya juga turut menjadi mangsa sasaran serangan pihak media.

BERTRAND GUAY/AFP/Getty Images

Selain daripada isu jamuan mewah itu, Francois turut didakwa menyalahguna sebuah apartmen yang terletak di kampung halamannya, Nantes di mana apartmen berkenaan adalah dikhaskan kepada golongan pekerja berpendapatan rendah. Akan tetapi, Francois dikatakan menggunakan apartmen tersebut bagi tujuan peribadi di samping mengubahsuai kediaman rasminya itu.

Meskipun telah meletakkan jawatan, Francois tetap memfailkan aduan perundangan terhadap Mediapart berikutan dakwaan yang dikatakan berunsur fitnah itu.

Sumber: Astro AWANI

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular