KUALA LUMPUR: Sejarah baharu Malaysia tercipta apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof yang mengumumkan perkara itu berkata, sejarah baharu Malaysia berjaya dicipta selepas semua ahli Parlimen sepakat dan mengetepikan latar belakang ideologi politik dalam menyuarakan sokongan padu ke arah usaha memperkasa suara golongan muda di negara ini.

Beliau kemudian mengumumkan undi belah bahagian merekodkan 211 Ahli Parlimen bersetuju, tiada yang membangkang dan tiada yang tidak mengundi.

“Lebih 2/3 undi. Tahniah, melakar sejarah hari ini, tepat setahun Parlimen bersidang,” katanya yang dipetik Berita Harian di Dewan Rakyat.

Pengumuman itu membuatkan Dewan Rakyat gemuruh dengan tepukan meja semua Ahli Parlimen.

Lebih manis, RUU yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu diluluskan genap setahun selepas Dewan Rakyat bersidang di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Selepas dibahaskan kira-kira lima jam oleh Ahli Parlimen mewakili blok kerajaan dan pembangkang, proses undi belah bahagian dimulakan pada pukul 6.24 petang selepas Dr Mahathir selesai membuat penggulungan.

Sementara itu, Tun Dr Mahathir melahirkan rasa gembira melihat proses demokrasi berparlimen negara berjalan lancar apabila Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan di Dewan Rakyat, diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

Keputusan 211 Ahli Parlimen menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 menggambarkan kematangan dan pencapaian rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

“Ini hari bersejarah bagi Malaysia. Tidak pernah berlaku. Saya sudah biasa dengan Parlimen tapi ini kali pertama satu undang-undang diluluskan dengan (sokongan) semua pihak. Tidak ada satu pun undi menolak.

“Ini era baharu yang mana parti lawan pun nampak kebaikan tindakan diambil kerajaan ini,” katanya yang dipetik Sinar Harian pada sidang media di lobi Parlimen.

Ia adalah pindaan pertama Perlembagaan sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

RUU berkenaan meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warga negara yang layak mengundi menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu turut bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warga negara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular