Malaysia memang kaya dengan pelbagai jenis buah-buahan tempatan. Pasti ramai yang tidak sabar menunggu kehadiran musim buah setiap tahun.

Bagi penggemar buah-buahan seperti durian, rambutan, manggis atau langsat pastinya sanggup berhabis duit atau berjalan jauh semata-mata untuk mendapatkan buah-buahan kegemaran mereka. Siapa sahaja yang mahu melepaskan peluang untuk menikmati buah kegemaran mereka sementara masih ada musim bukan?

Sempena tibanya musim durian, sebuah program bernama ‘Program Jom Makan Durian: Makan Sampai Pengsan’ telah diadakan di sebuah kampung di Perak baru-baru ini.

Program tersebut dikatakan program tahunan yang diadakan di Batu Kurau, Perak. Bunyinya memang menarik terutama bagi penggemar durian. Mana tidaknya, pengunjung boleh makan durian secara percuma sebanyak mana yang mereka mahukan!


Harian Metro

Dikatakan lebih daripada 4 tan durian telah disediakan untuk orang ramai bagi menjayakan program makan percuma ini. Acara tersebut telah menarik perhatian orang ramai sehingga ada yang datang seawal jam 7 pagi. Kira-kira10,000 orang pengunjung telah menghadiri program ini.

Bunyinya memang menarik sehingga menjadi tajuk berita di akhbar terkemuka negara. Namun, tahukah anda tentang cerita yang kurang enak didengari di sebalik program tersebut?

Seorang pengguna Twitter, Nazirul Basyir yang juga merupakan anak jati kampung tersebut telah menulis sebuah status yang menceritakan tentang apa yang sebenarnya berlaku ketika program tersebut dijalankan.

Menurutnya kampungnya boleh dikatakan sebagai lubuk durian terbaik dan setiap kali musim durian tiba orang kampung akan mengadakan jamuan durian sebagai tanda kesyukuran.

Semuanya berjalan dengan baik pada tahun pertama program kerana hanya orang kampung yang tahu mengenai program tersebut. Dek kerana kemeriahan, program tersebut mula menjadi ‘viral’ dan menerima kehadiran ramai pengunjung pada tahun berikutnya.

Twitter

Kehadiran ribuan orang telah membuatkan keadaan mula menjadi tidak terkawal. Ini bukan kerana salah penganjur atau orang kampung malah sikap tidak sopan pengunjung telah membuatkan program tersebut menjadi tidak sebaik tahun lepas.

Apa yang berlaku ialah sampah dibuang merata-rata walaupun telah banyak bakul sampah disediakan. Bekas dan pinggan polisterin dibuang di atas jalan menjadikan pemandangan sangat kotor.

Selain itu, sikap pengunjung yang tidak mahu beratur juga menimbulkan masalah. Ada pula yang berebut-rebut kerana dikatakan takut durian akan habis. Itu belum cerita tentang mereka yang mahu dilayan sebagai tetamu VIP. Golongan ini bahkan telah bersikap biadap dengan memarahi penganjur atau orang kampung kerana makanan mereka lambat diberikan!

Bukan hanya itu ada juga pengunjung yang datang membawa plastik besar dan mengambil sebanyak durian yang mereka mahukan dan pergi dari situ tanpa mempedulikan orang lain yang masih belum menjamah durian. Sikap pentingkan diri seperti ini memang tidak patut dilakukan oleh sesiapa pun terutama ketika berlangsungnya program seperti ini.

Pada akhir thread itu, netizen tersebut memuji mereka yang sanggup bersusah-payah menganjurkan program dan untuk memastikan program berjalan lancar. Merekalah yang telah bersusah-payah daripada awal sehinggalah ke akhir program walaupun terpaksa berhadapan dengan perangai pengunjung yang tidak beradab.

 Twitter

“Kesimpulannya, kalau hang jadi tetamu dekat majlis apa sekali pun, jagalah adab sebagai tetamu. Kita takkan pernah suka kalau benda macam aku sebut atas tu jadi dekat kita maka janganlah dibuat pada orang lain.”- Nazirul Basyir

Sumber: TWITTER

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP NASIONAL

Video Popular