Merancang kehamilan adalah sesuatu yang penting dan seharusnya diambil perhatian oleh pasangan yang berkahwin.
Ada pasangan yang mahu mengukuhkan kewangan dahulu sebelum menambah cahaya mata. Ada juga para isteri yang mahu memastikan tubuh mereka benar-benar sihat sebelum hamil semula.
Jadi, ramai yang cuba untuk menjarakkan kehamilan dengan mencuba pelbagai teknik dan kaedah yang paling biasa digunakan ialah dengan mengambil pil perancang.
Namun begitu, terdapat kaedah lain seperti penggunaan Intra Uterine Contraceptive Device (IUCD) di mana alat ini sebenarnya digunakan untuk mencegah serta menjarakkan kehamilan.
Mungkin ramai yang tidak biasa mendengar akan penggunaan alat ini tetapi percaya atau tidak ia adalah antara langkah yang paling berkesan buat mereka yang merancang kehamilan.
Berikut adalah perkongsian seorang wanita yang telah menggunakan IUCD selama tiga tahun. Dia telah memuat naik status di Facebook dengan menceritakan pengalamannya sepanjang menggunakan alat ini.
Bagi anda yang kurang tahu tentang alat ini, status pengguna Facebook Himawari Chan pasti sedikit sebanyak akan memberi anda idea tentang penggunaan IUCD.
Menurut Himawari Chan dia telah melakukan perancangan keluarga hanya dengan menggunakan IUCD yang dipasang secara percuma di Klinik Kesihatan Senawang selepas 20 hari melahirkan anaknya, Mikail dan tiada sedikit pun rasa sakit yang dialami ketika itu.
Selepas tiga tahun alat tersebut perlu dikeluarkan. Selepas membuat temujanji dengan doktor di klinik kesihatan, alat tersebut berjaya dikeluarkan tanpa rasa sakit. Apa yang dirasai ketika itu hanyalah sedikit ketidakselesaan namun semuanya berjalan lancar dan prosedur mengeluarkan IUCD hanya mengambil masa sekitar enam minit sahaja.
Bagi yang tidak tahu IUCD sebenarnya boleh menjarakkan anak tanpa melibatkan hormon yang boleh mengganggu kitaran haid.
Buat para ibu yang tidak boleh makan pil perancang atas sebab kesihatan, kaedah IUCD adalah kaedah lain yang boleh digunakan. Adalah perlu diketahui bahawa IUCD boleh memberi sedikit kesan sampingan seperti pengeluaran darah haid yang agak banyak dan lebih lama daripada biasa.
Menurut Puan Himawari Chan ramai yang melihat penggunaan IUCD sebagai sesuatu yang menakutkan tetapi tidak baginya. Dia lebih takut jika hamil semula selepas bersalin atau ketika luka pembedahan semasa melahirkan masih belum baik.
Bagi Puan Himawari Chan kaedah ini berjaya buat dirinya merancang keluarganya, namun pesannya jika masih mengandung walaupun menggunakan IUCD, itu adalah rezeki dan ketentuan Tuhan Yang Maha Esa.
Sumber: Himawari Chan/Facebook
Maybe you're interested :
- Awasi apa yang anak makan, ibu kepada anak penghidap kanser kongsi simptom dan makanan yang tidak boleh diberikan kepada anak
- Dakwaan seorang gadis gugurkan kandungan selepas serangan seksual berkumpulan, polis Hong Kong dikecam melanggar ‘hak privasi dan maruah’
- Kes demam denggi di Malaysia meningkat 70% sejak tahun 2018