Hari ini kemunculan minuman manis sudah terlalu banyak. Jangan kata minuman yang diimport dari luar malah sudah banyak syarikat tempatan yang mengeluarkan jenama minuman manis mereka sendiri. Lihat sahaja di kedai-kedai dan pasaraya-pasaraya pastinya anda sendiri adakalanya keliru untuk membuat pilihan dek lambakan jenama yang ada.

Ramai orang tahu bahawa minuman manis sememangnya tidak sihat kerana kandungan gulanya yang tinggi boleh membuatkan mereka yang sering minum minuman manis mendapat penyakit seperti kencing manis. Namun, tahukah anda bahawa minum minuman manis juga boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser?

Menurut New Straits Times, kajian yang dilakukan di Perancis mendapati bahawa minum minuman manis seperti soda dan jus buah boleh meningkatkan peluang untuk mendapatkan beberapa jenis kanser.


Gambar Hiasan | Breakingpic_Pexel 

Minuman manis telah meningkat popular di seluruh dunia dan minuman ini sering dikaitkan dengan obesiti. Berdasarkan kajian yang diterbitkan di dalam BMJ, salah satu faktor utama yang menyebabkan risiko kanser adalah obesiti.

Sekumpulan penyelidik di Perancis ingin mengkaji hubungan antara minuman tinggi kandungan gula dengan risiko kanser secara umum, termasuk kanser payudara, prostat dan kanser usus. Lebih 100,000 orang dewasa telah mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut dan rata-rata peserta berusia 42 tahun, dengan kira-kira 79% daripadanya adalah wanita.

Para peserta terlibat dalam kajian ini sehingga sembilan tahun dan mereka dikehendaki menjawab dua soal selidik berkaitan dengan pemakanan yang diambil dalam masa 24 jam secara atas talian. Soal selidik itu juga termasuk mengira pengambilan gula harian mereka serta jumlah minuman manis tiruan serta minuman yang berasaskan 100% jus buah.

ChiniMandi

Penyelidikan mengenal pasti bahawa pengambilan minuman manis sebanyak 100ml setiap hari dapat meningkatkan peluang untuk mendapat kanser yang lebih tinggi iaitu sebanyak 18% dan peningkatan risiko kanser payudara sebanyak 22%. Minuman manis sama ada tiruan mahupun jus buah dikatakan memberikan risiko yang sama.

Apabila para penyelidik melakukan tindakan lanjut kepada para peserta, mereka mengenal pasti bahawa 2,193 kes kanser telah didiagnosis dan purata mereka yang menghidap penyakit ini berusia 59 tahun. Walaupun mereka tidak mengesahkan punca prognosis kanser memandangkan keputusan kajian datang dari pemerhatian, mereka mempunyai saiz sampel yang besar dan diselaraskan dengan faktor lain yang turut memberi kesan.

Graham Wheeler, ahli statistik kanan Penyelidikan Kanser UK berkata, “Kajian besar yang direka dengan baik ini menambah bukti yang ada bahawa pengambilan minuman manis mungkin boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko beberapa jenis kanser.” Penyelidik juga mencadangkan supaya mengenakan cukai ke atas makanan dan minuman manis yang boleh memberi kesan kepada jumlah penyakit kanser.

Sumber: New Straits Times, BMJ

Maybe you're interested :

Share

Video Popular