Boleh dikatakan, kebanyakan orang pasti berkaki ayam ketika berjalan di tepi pantai. Ada yang suka timbus badan dengan pasir pantai dan bagi kanak-kanak pula pastinya membina istana pasir.

Namun, pasti ramai yang tidak tahu perbuatan tersebut boleh membuatkan seseorang itu terkena jangkitan cacing. Baru-baru ini, seorang wanita terkena jangkitan cacing di bahagian tapak kakinya ketika bercuti bersama keluarga di pantai Port Dickson.

Wanita tersebut, Nurul Ezzatul Akma telah berkongsikan kisahnya itu di Facebook. Menurutnya, dia mengalami jangkitan cacing di bahagian tapak kakinya akibat daripada berjalan kaki ayam di tepi pantai.

Pada mulanya, dia menyangka mengalami sakit urat selepas ternampak garisan timbul di bawah kakinya seminggu kemudian.

Nurul Ezzatul|Facebook

Dia yang tidak tahu bahawa perkara tersebut adalah berpunca daripada cacing, mula perasan terdapat gelembung kecil di tapak kakinya. Namun, dia sangka melecet akibat pakai selipar.

Tetapi selepas beberapa hari, muncul sesuatu seperti urat bengkak di tapak kakinya yang membuatkannya fikir mengalami salah urat.

Disebabkan keadaan tersebut berlarutan, dia mengambil keputusan untuk pergi mengurut. Tukang urut tersebut juga mengatakan bahawa dia mengalami salah urat. Sehari selepas urut, urat bawah tapak kakinya mula timbul dan berasa sangat gatal.

Nurul Ezzatul|Facebook

Dia memuat naik gambar tapak kakinya yang mempunyai garisan panjang di Facebook untuk bertanyakan kepada orang ramai apa sebenarnya yang berlaku. Ramai yang mengatakan bahawa ia sebenarnya cacing kerana mereka ada terbaca mengenainya sebelum ini.

Selepas didesak oleh keluarga dan kenalannya, Nurul pergi ke hospital swasta di Ara Damansara pada Selasa lalu untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Menurut Nurul lagi, pada mulanya doktor juga seperti ragu-ragu bahawa perkara itu disebabkan oleh cacing. Selepas melihat dengan lebih dekat, doktor mengesahkan bahawa ia adalah cacing yang telah berada dalam kulitnya.

Doktor tersebut terus bertanya kepadanya jika dia telah pergi ke pantai baru-baru ini dan dia memberitahu doktor bahawa dia telah pergi ke pantai dua minggu selepas Hari Raya.

Nurul yang juga peniaga atas talian terkejut apabila doktor yang memeriksanya mengesahkan bahawa dia menghidapi penyakit cutaneous larva migrans. Cutaneous larva migrans adalah adalah infeksi yang diakibatkan oleh cacing parasit pada kulit.

Cacing yang berada di dalam tapak kakinya itu adalah cacing kerawit atau juga dikenali sebagai cacing tambang.

Doktor tersebut mengatakan bahawa biasanya cacing jenis itu banyak terdapat di pasir tepi pantai kerana kadang-kadang ada kucing dan anjing berak di situ.

Doktor tidak dapat mengeluarkan cacing tersebut kerana mereka tidak dapat mengenal pasti lokasi sebenar cacing itu. Nurul memberitahu doktor bahawa dia merasakan sesuatu yang bergerak di tapak kakinya setiap malam. Doktor mengatakan bahawa cacing ini biasanya lebih aktif pada waktu malam.

Oleh kerana cacing tidak dapat dikeluarkan, doktor memberikannya ubat cacing untuk dimakan selama tiga hari. Jika tiada perubahan selepas tiga hari, doktor mengarahkannya berjumpa doktor pakar untuk mengeluarkan cacing itu.

Dia merasakan cacing itu masih bergerak di kakinya walaupun selepas makan dos kedua ubat itu. Walau bagaimanapun, Nurul lega apabila dia tidak lagi dapat merasakan cacing itu bergerak selepas makan ubat dos ketiga.

Doktor mengatakan bahawa cacing itu sangat berbahaya dan ia boleh masuk ke saluran darah seseorang jika mereka tidak berhati-hati. Tidak semestinya ada luka terbuka untuk cacing memasuki tubuh seseorang kerana ia benar-benar kecil dan halus seperti benang.

Oleh itu, Nurul menasihati orang ramai supaya memakai kasut ketika berjalan di tepi pantai dan menjadikan insiden yang menimpanya sebagai satu pengajaran terutama kepada mereka yang mempunyai anak kecil.

Sumber: Nurul Ezzatul|Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular