Di dunia ini, segala permasalahan boleh diselesaikan. Apa yang penting adalah perlunya keinginan untuk menangani setiap masalah dengan cara yang baik dan berfikir tentang bagaimana untuk melakukannya. Namun begitu, adakalanya bukan semua masalah itu boleh diselesaikan meskipun kita telah mencuba sehabis baik. Malah, ada juga segelintir individu yang memandang enteng mengenai masalah dunia dan lebih gemar menenangkan diri dengan tidur dan berharap ianya sekadar mimpi di siang hari.

Tetapi lain pula pendekatan yang ditunjukkan oleh seorang pelajar lelaki ini. Bagi mengelakkan bilik asramanya dipecah masuk lagi, pelajar ini telah mencipta satu sistem kunci yang membolehkan seseorang mendapat akses kemasukan hanya jika memiliki kad ID berdaftar!

 

Dalam video yang dimuat naik oleh pengguna Twitter bernama Danial Faiz @DECI93725960, telah tular mengenai bagaimana pelajar terbabit memasang satu sistem pintu automatik yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam bilik asrama di kolejnya. Memetik kenyataan pelajar Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang (KMKPh) ini, Harian Metro melaporkan bahawa Faiz mendapat ilham untuk memprogramkan pintu berkunci automatik ini memandangkan terdapat lambakan aduan tentang kes kecurian di kolejnya.

Tambahnya lagi, Faiz juga pernah menyaksikan bagaimana seseorang penjenayah menceroboh masuk bilik mangsanya dengan cara yang begitu mudah iaitu menggunakan wayar! Justeru, dengan bermodalkan RM80, Faiz telah menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di dalam sistem pintu berkunci automatiknya itu.

Harian Metro

“Saya belajar melalui YouTube dan berjaya menghasilkannya dalam masa satu hari. Hanya saya dan tiga lagi rakan sebilik lain boleh memasuki pintu itu. Itu pun selepas saya mendaftarkan nombor pendaftaran mereka ke dalam sistem program”.

Akui Faiz lagi, pada awalnya dia langsung tidak tahu mengenai penularan video tersebut di media sosial. Ujar pelajar kejuruteraan itu, “Agak ramai yang minta saya mengajar mereka tentang cara untuk mencipta sistem tersebut. In shaa Allah, saya akan membuat video tutorial yang akan memberi manfaat kepada semua”.

Anak sulung daripada tiga beradik ini mula mendalami dan meminati bidang kejuruteraan dan sistem robotik sejak usianya mencecah lapan tahun. Sebelum ini, Faiz yang baru berusia 18 tahun bersama tiga lagi rakannya pernah membanggakan negara apabila menggondol tempat kedua dalam pertandingan World Robot Summit (WRS) Junior School Robot Challenge Trial 2016 yang berlangsung di Akademi & Universiti Tamagawa, Jepun.

UTM NewsHub

Semoga kejayaan Faiz akan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda di luar sana untuk terus berdaya saing dan mengharumkan nama negara. Tahniah Daniel Faiz!

Sumber: World of BuzzHarian Metro

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona VIDEO

Video Popular