Baru-baru ini tular mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang dikatakan telah meninggal dunia akibat bermain tumbuk-tumbuk dengan bapa saudaranya. Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Azfar Qayyum Md Said, dipercayai meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalaman yang serius.

Menerusi laporan Berita Harian, kanak-kanak yang berasal dari Baling, Kedah itu telah disahkan meninggal dunia pada 2.15 petang pada 29 Jun 2019 di Hospital Baling.

Menurut Pemangku Ketua Polis Baling, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman, pihak polis mendapat maklumat mengenai kanak-kanak tersebut setelah dimaklumkan oleh pihak hospital.

Berdasarkan keterangan keluarga, mangsa ditemui dalam keadaan tidak bergerak di dalam bilik rumahnya pada jam 1 tengah hari. Keluarga mangsa kemudian membawanya ke Hospital Baling, namun pemeriksaan doktor mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum itu.

Hasil pemeriksaan awal pada tubuh badan Azfar, pihak hospital menemui beberapa kesan lebam pada bahagian kepala dan badannya.

Berdasarkan keterangan keluarganya lagi, mangsa ada bermain bersama bapa saudaranya yang berusia 16 tahun yang juga merupakan seorang pesakit sindrom down pada malam sebelumnya. Mereka dikatakan bermain tumbuk-tumbuk, namun berhenti selepas ditegur oleh ahli keluarga. Mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman akibat kejadian itu.

Pihak polis telah menahan bapa saudara mangsa bagi membantu siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat kanak-kanak tersebut turut dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat.

Sumber: BERITA HARIAN 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular