KOTA KINABALU – Sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai dari kumpulan pengganas Abu Sayyaf disyaki menculik 10 krew dua bot nelayan di perairan Sabah berhampiran rantaian Pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina.

Dua bot nelayan tersebut dilaporkan berada di perairan Tambisan, Lahad Datu dan sedang menuju ke Semporna apabila telah didatangi dan ditahan oleh sekumpulan lelaki bersenjata, dipercayai memiliki senjata berat yang menaiki bot laju pada kira-kira jam 2 pagi, Selasa, 18 Jun.

Identiti dan kewarganegaraan mangsa masih belum dapat dikenal pasti. Kesemua mangsa penculikan dipercayai warga Filipina yang memegang dokumen khas Lepa-Lepa yang dikeluarkan pada tahun 1970-an.

Kumpulan ini dipercayai telah menculik 4 daripada 6 orang krew nelayan dari bot nelayan pertama dan 6 daripada 10 orang krew nelayan dalam bot nelayan kedua.

Mereka dipercayai sedang menaiki bot nelayan warga asing menuju ke Pulau Sitangkai di selatan Filipina yang hanya terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot laju dari perairan Tambisan, Sabah.

Ketika dihubungi, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, mereka menyedari kejadian penculikan tersebut tetapi belum menerima laporan rasmi.

Difahamkan bahawa kedua-dua bot nelayan asing tersebut telah melakukan perjalanan tanpa permit di dalam zon larangan perairan semasa perintah berkurung sedang berkuatkuasa.

Baki enam nelayan telah diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Pihak mereka mendakwa nelayan ini sedang menuju ke Semporna untuk memperbaharui permit.

Sementara itu, jurucakap Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berkata pihaknya masih menyiasat lokasi sebenar kejadian berikutan ianya tidak dapat dipastikan sama ada kejadian penculikan berlaku di perairan Filipina atau Malaysia.

Sumber : See Hua, The Star

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular