HONG KONG – Puluhan ribu penduduk Hong Kong membanjiri jalan-jalan di Hong Kong pada 12 Jun, dan mengelilingi ‘Legislative Council’ (Dewan Perundangan) di ibu kota bagi menyatakan bantahan terdapat rang undang-undang ekstradisi baru yang dianggap penuh kontroversi.

TIME melaporkan bahawa demonstrasi pada 12 Jun menyasarkan penangguhan perbahasan bagi penggubalan undang-undang berhubung rang undang-undang ekstradisi yang diselubungi kontroversi yang mana antara lain membolehkan sesiapa sahaja di Hong Kong dipindahkan ke China untuk tujuan pendakwaan.

ANTHONY WALLACE/AFP/Getty Images

Walaupun perbahasan mengenainya telah ditangguhkan, undian terhadap rang undang-undang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.

Ketika penduduk Hong Kong menyasarkan untuk mengadakan demonstrasi dan perhimpunan aman, pihak polis Hong Kong telah bertindak dengan menembak peluru gas pemedih mata dan peluru getah terhadap beberapa kumpulan untuk menyuraikan mereka.

@Reuters/Twitter

CNN melaporkan melalui seorang pemerhati yang mengatakan ia bertukar menjadi perhimpunan yang ‘menakutkan dan keterlaluan’ apabila pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata kepada penduduk Hong Kong yang mahukan demonstrasi aman dengan tiada penggunaan kekerasan.

“Saya sedang memerhati perhimpunan aman di jalan raya dari jambatan pejalan kaki. Tiba-tiba, saya terdengar bunyi yang kuat dan banyak asap putih yang muncul,” kata saksi itu.

Anthony Kwan/Getty Images

“Ramai orang menjadi sangat takut. Semua orang berasa tidak selesa. Ia menakutkan dan keterlaluan untuk melihat bagaimana pihak polis tiba-tiba menggunakan gas pemedih mata kepada orang awam di kawasan ini apabila semua orang mahukan perhimpunan aman,” katanya.

Penyembur lada jarak jauh juga didakwa telah digunakan kepada wartawan yang membuat liputan di kawasan tersebut.

Rang undang-undang ekstradisi telah dilabelkan dalam frasa Kantonis dengan suara dan irama sorakan menyaksikan kematian orang yang disayangi.

Anthony Kwan/Getty Images

Beberapa pengkritik mendakwa rang undang-undang itu akan membolehkan sesiapa di Hong Kong diserahkan kepada pihak berkuasa di China atas alasan politik dan menjejaskan sistem undang-undang separa autonomi metropolitan yang pernah berada di bawah pemerintahan British itu, demikian dilaporkan oleh The Reporter.

Walaupun pemerintah Hong Kong berjanji untuk tidak menyerahkan tahanan politik, penduduk Hong Kong dan media asing percaya bahawa kerajaan China mampu mengekstradisi mereka di bawah kesalahan lain.

Penentang rang undang-undang tersebut juga mendakwa bahawa rakyat yang berasa sangsi terhadap kerajaan China akan tertakluk kepada sistem kehakiman negara yang tidak adil dan terdapat kecacatan.

BBC melaporkan aktivis mengatakan bahawa sesiapa sahaja boleh terdedah dan berhadapan dengan penangkapan yang sewenang-wenangnya, perbicaraan tidak adil serta penyeksaan sekiranya mereka di ekstradisi ke China di bawah undang-undang baru.

@galileocheng/Twitter

Sebagai contoh, seorang penjual buku di Hong Kong memberitahu BBC bahawa dia telah diculik dan ditahan di China empat tahun lalu kerana menjual buku yang mengkritik dasar kerajaan China. Dia didakwa melakukan operasi dan perniagaan haram di sebuah kedai buku.

Penjual buku tersebut yang melarikan diri dari Hong Kong dan berpindah ke Taiwan pada April tahun ini, telah diberikan visa pemastautin sementara.

Katanya, “Saya tidak percaya kerajaan dapat menjamin keselamatan saya, atau keselamatan mana-mana penduduk dan warga Hong Kong”.

Laporan oleh Freedom House pada tahun 2018 mendedahkan bahawa pendakwaan dan perbicaraan jenayah di China sering berlaku secara tertutup, dan kadar sabitan dianggarkan sekurang-kurangnya sebanyak 98%.

Freedom House

Sekiranya rang undang-undang ekstradisi diluluskan, suspek jenayah boleh menghadapi penangkapan dan tahanan pra-perbicaraan secara berlebihan sementara tidak dibenarkan mendapat akses kepada peguam atau penasihat undang-undang yang bebas.

Lebih-lebih lagi ketika kes-kes yang melibatkan politik yang amat sensitif adalah tertakluk kepada “panduan” daripada ‘jawatankuasa politik dan undang-undang’ dari China. Peguam dan aktivis hak asasi manusia juga telah menunjukkan bukti dalam media yang mana mereka yang ditahan memberikan apa yang dipercayai ‘pengakuan secara paksa’ terhadap ‘jenayah’ yang dilakukan.

Sumber : SAYS

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular